Malaysia Dateline

Beri hujah konstruktif, siasat ahli yang tinggalkan Pemuda AMANAH

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub mencabar Pemuda sayap parti itu untuk membuktikan kemampuan dan keberanian mereka yang mampu melahirkan kepimpinan dan idea besar untuk negara.

Beliau berkata, Pemuda AMANAH perlu berpegang pada identiti sebenar parti dan tidak harus menjadi kumpulan ‘maki hamun’ yang menyerang kepimpinan sendiri tanpa fakta.

“Pemuda kalau nak bangkang tidak mengapa, tapi beri hujah konstruktif, bukan kita ungkit dalam Facebook.

“Jadi, apa sumbangan anda pada hari ini untuk membuktikan keberanian?” soalnya semasa Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional kali kelima di Bukit Katil, Melaka pagi ini.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Pulai itu menegaskan AMANAH ditubuhkan sebagai satu pasukan dan tiada siapa yang bersikap taat melulu atau ‘walak’ dalam parti.

Mantan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu juga mengingatkan agar Pemuda AMANAH tidak meninggalkan ahli-ahli yang memutuskan untuk keluar dari parti.

“Kalau hari ini ada orang hendak meninggalkan Pemuda AMANAH, pergi siasat. Saya pun tidak mahu selamanya memegang falsafah kalau anak kita mati, anak lain pun mesti mati.

“Pergi tanya dan berhubung. Kalau mereka tidak jelas, panggil kami untuk beri penjelasan.

“Jumpa mereka tanya kenapa tidak puas hati. Tanya mereka perkara apa yang menunjukkan AMANAH sudah lari dari perjuangan.

“Tetapi kalau mereka terlalu menginginkan rumah baharu, makan tak cukup atau rumah ini mungkin tidak sesuai dan nak pergi rumah lain, saya ucap all the best,” kata Salahuddin lagi.

Salahuddin bersama kepimpinan dan perwakilan Pemuda AMANAH dalam norma baharu di Melaka pagi ini.