Beri hukuman berat kepada pelaku jenayah seksual babitkan madrasah tahfiz

Pihak berkuasa disaran memberikan hukuman berat dan setimpal kepada individu yang melakukan jenayah seksual membabitkan para pelajar sebuah pusat tahfiz di Kuantan dan memberikan kaunseling kepada pelajar terlibat serta keluarga mereka.

Ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata, para pelajar tahfiz tersebut pasti mengalami trauma serta gangguan emosi dan juga dibelenggu perasaan malu dengan apa yang berlaku ke atas mereka.

“Saya kesal dan sangat terkejut dengan perkhabaran berita insiden yang berlaku di salah sebuah Maahad Tahfiz di Kuantan yang didedahkan oleh beberapa akhbar tempatan.

“Kesal, marah dan sangat sedih apabila ia melibatkan juga pelajar pelajar tahfiz di situ yang sedang mendalami ilmu agama. Mereka telah diperdayakan dan dipergunakan bagi melepaskan nafsu salah seorang sukarelawan yang dikatakan aktif di situ dalam menyumbang kepada maahad tahfiz itu.

“Kepercayaan dan amanah yang diberi oleh pihak maahad tafiz telah disalahgunakan oleh penjenayah tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut Fuziah, kanak-kanak memang mudah memberi kepercayaan kepada seseorang yang dilihat sebagai sahabat dan tambahan banyak pula membantu sekolah mereka.

Dalam kejadian tersebut, seorang guru maahad tahfiz di Kuantan telah membuat laporan polis mendakwa seorang penyumbang kepada pusat itu telah meliwat dan melakukan penderaan seksual ke atas 21 pelajarnya.

Perbuatan itu terbongkar selepas pelajar lelaki berusia antara 14 hingga 17 tahun terbabit mengadu kepada gurunya sebelum laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, 12 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Polis, Mohamad Noor Yusof Ali ketika dihubungi Astro Awani semalam mengesahkan menerima laporan tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Pelajar remaja terbabit juga dikatakan turut dipukul serta diugut suspek berusia 41 tahun supaya tidak mendedahkan perkara tersebut.

Sementara itu, pemilik pusat tahfiz itu dilapor Astro Awani, kecewa dengan nasib yang menimpa mangsa terbabit termasuk enam daripadanya yang diliwat sejak Ogos tahun lalu.

Lelaki berusia 38 tahun itu berkata, suspek sejak tahun 2015 aktif memberi sumbangan barangan keperluan harian dan pakaian kepada pusat tahfiz itu.

Pihaknya mengetahui hal itu apabila salah seorang tenaga pengajar ternampak suspek cuba masuk ke dalam selimut salah seorang mangsa yang sedang tidur di dalam asrama akhir Februari lalu.

“Selepas disoal siasat, baru pelajar yang terbabit mengaku mengenai kegiatan tidak bermoral lelaki berkenaan.

“Enam daripada 21 pelajar yang menjadi mangsa pula diliwat, malah salah seorang daripada mereka dipaksa melakukan perkara terkutuk berkenaan kira-kira 10 kali,” dakwanya.

Tambahnya, suspek itu juga sering membawa pelajar tahfiz pulang ke rumahnya tanpa pengetahuan pengurusan maahad.

Suspek kini direman bermula 13 Mac hingga 19 Mac depan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, Fuziah menyarankan supaya agensi kerajaan dapat berkerjasama dengan institusi pendidikan serta badan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani penderaan seksual membabitkan kanak-kanak supaya ia tidak merebak dan menjadi jenayah yang sangat teruk di masa hadapan.

“Sebelum ini kita juga telah banyak dihidangkan dengan kes-kes sebegini sehingga ada yang menyebabkan kematian kepada mangsa.

“Bagi saya ia merupakan jenayah yang kejam dan perlu dibasmi segera supaya tidak menular dengan lebih besar di kalangan masyarakat,” katanya.
Fuziah menyarankan madrasah tahfiz agar turut mendedahkan para pelajar kepada subjek-subjek semasa bagi membolehkan mereka memahami ilmu dunia dan persekitaran.

Langkah ini, katanya boleh membantu para pelajar menggelak diri dari menjadi mangsa kegiatan tidak bermoral yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sekali lagi saya tegaskan perasaan kesal serta marah saya dan saya ingin lihat anak-anak kita yang lain terlindung dari menjadi mangsa di masa hadapan,” ujar beliau.

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS