Beri isyarat jelas tolak pembangkang, kata Gobind

Beri isyarat jelas tolak pembangkang, kata Gobind

Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo menyeru pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau memberi isyarat jelas dengan menolak UMNO dan PAS yang masih menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak yang terpalit dengan skandal kewangan negara.

Beliau berkata calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan sendiri seolah-olah mempersoalkan kenapa bekas perdana menteri itu tidak diambil tindakan sehingga kini jika mempunyai bukti dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata Najib telahpun didakwa di mahkamah dan pasukan pembelaannya berusaha menangguhkan perbicaraan dengan memfailkan pelbagai permohonan.

“Tapi calon BN boleh cakap kenapa tak ada ambil tindakan sampai sekarang,” katanya pada sesi ceramah kelompok Pakatan Harapan (PH) di sini, malam ini, sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau, 13 April ini.

Justeru, beliau meminta pengundi supaya memberi isyarat kepada Mohamad bahawa rakyat Malaysia sudah tahu mengenai skandal kewangan 1MDB dan menolak calon pembangkang itu pada pilihan raya kecil ini.

Gobind, yang juga peguam berpengalaman lebih 20 tahun berkata, kes berprofil tinggi melibatkan dakwaan salahlaku kewangan oleh Najib, bekas pengerusi BN, bukan mudah dan cepat untuk diselesaikan.

Beliau, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, menegaskan kerajaan PH menghormati undang-undang dan segala pendakwaan terhadap pelaku skandal kewangan negara perlu mengikut prosedur mahkamah dan ia akan mengambil masa.

Beliau turut mengingatkan bahawa majoriti rakyat Malaysia menolak BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tahun lepas kerana mahukan perubahan ke arah Malaysia Baharu dan justeru meminta pengundi supaya momentum itu dikekalkan pada PRK Rantau.

“Dalam masa 10 bulan ini selepas PH menubuhkan kerajaan, saya berani cakap bahawa kerajaan hari ini adalah bersih,” katanya.

Ceramah tersebut turut dihadiri Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

PKR berkenaan akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH, Dr S. Streram, Mohamad, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan Timbalan Presiden Umno, serta dua calon Bebas iaitu, R. Malarvhi dan Mohd Nor Yassin.- BERNAMA