Beri keadilan kepada 142 tahanan Juvana di bawah Poca, kata Suhakam

Beri keadilan kepada 142 tahanan Juvana di bawah Poca, kata Suhakam

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mahu keadilan dan pembelaan sewajarnya diberikan kepada 142  juvana yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca).

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata penahanan di bawah Poca memberi impak negatif terutama dari sudut psikologi dan masa depan mereka.

“Daripada pemantauan kami, rata-rata tahanan juvana turut mengalami masalah kesihatan seperti penyakit kulit. Makanan dan kualiti kebersihan di pusat tahanan juga kurang memuaskan,” katanya sambil menambah juvana tidak seharusnya ditahan bersama pesalah dewasa.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas mengenai juvana yang ditahan di bawah Poca di sini hari ini.

Joseph berkata kerajaan perlu melihat semula akta itu dan satu pendekatan lebih efisyen perlu dilaksana dalam menguruskan tahanan juvana.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata jika ada bukti kukuh, pendakwaan perlu dibuat demi memberi keadilan bagi juvana yang ditahan di bawah Poca.

Katanya lagi, program rehabilitasi khas juga perlu dibangunkan bagi membantu pesalah juvana.– BERNAMA