Malaysia Dateline

Beri kelonggaran usaha kebajikan, kata AMANAH Sarawak

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak memohon agar kerajaan memberi kelonggaran kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) yang memberikan sumbangan terus kepada golongan kurang kemampuan ketika Perintah Kawalan Pergerakan(PKP)dikuatkuasakan kini.

Timbalan Pengerusinya, Hud Andri Zulkarnaen berkata, arahan seumpama itu bukan sahaja merencatkan perancangan dan gerak kerja NGO-NGO serta pihak yang terlibat dalam usaha kebajikan, malah ia juga memberi kesan besar kepada Pusat khidmat Ahli Parlimen, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) syarikat-syarikat korporat dan individu dalam memberi bantuan kebajikan kepada masyarakat.

“Kehadiran NGO untuk keluar membantu ini bukan untuk menggantikan peranan kerajaan atau memburukkan nama baik kerajaan tetapi perlibatan NGO hanya sebagai memikul tanggungjawab untuk menjaga kebajikan antara satu sama lain di samping sasaran bantuan kebajikan adalah golongan B40 dan mereka yang terputus pendapatan semasa krisis ini serta yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan barangan keperluan asas termasuk makanan.

“Saya sedar betapa seriusnya situasi yang kini melanda negara dan saya yakin NGO memberi komitmen sepenuhnya untuk membantu kerajaan bagi bersama-sama melawan Covid-19 serta mengawal penularan penyebaran virus ini,” kata beliau dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Jelas Hud Andri, rakyat Malaysia secara amnya lebih cenderung menyumbang dan memberi bantuan terus kepada penerima tanpa pihak ketiga semasa mengedar sumbangan di lapangan.

Namun, jelasnya lagi, terdapat sebahagian pihak mempertikaikan usaha NGO dalam krisis yang sedang dihadapi sekarang dengan melempar pelbagai tuduhan dengan mengatakan NGO mengambil kesempatan serta mempunyai niat dan muslihat tersendiri.

“Saya sekeras-kerasnya menolak tanggapan dan tuduhan melampau ini. NGO hanya mengambil kesempatan untuk melakukan ibadat bagi meraih pahala untuk bekalan akhirat dan inilah niat dan kesempatan yang hendak diambil

“Justeru, jangan kerana arahan ini kesemua kerja-kerja kebajikan untuk rakyat dari NGO dan rakyat umum menjadi semakin sukar hingga menyebabkan kerja-kerja kebajikan rakyat ini tidak lagi dilakukan akhirnya,” tambahnya yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Peduli Rakyat Kuching (Peduli).

Semalam, Majlis keselamatan Negara (MKN) memutuskan bahawa NGO, parti politik dan sebagainya tidak lagi dibenarkan mengedarkan sumbangan kepada mana-mana badan dan individu secara sendirian dan hanya boleh disalurkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat sekali gus diedarkan oleh anggota Rela dan Agensi Pertahanan Malaysia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media sebagai berkata, ia telah diputuskan untuk mengawal pergerakan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan diperketatkan.

Sehubungan itu, menasihati semua NGO yang ingin membantu supaya menghantar bekalan makanan ke pusat yang diwujudkan oleh kementerian dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di setiap daerah.

Pejabat JKM akan diguna sebagai pusat perkumpulan barang untuk dibekalkan kepada penduduk setempat dan penghantaran rumah ke rumah.

Beliau turut menyarankan segala penghantaran akan dilakukan oleh Rela dan APM selain garis panduan baharu bagi sumbangan barangan keperluan itu akan diumumkan kelak.