Beri kerjasama lapor pembalakan haram di Perak, kata MB

Beri kerjasama lapor pembalakan haram di Perak, kata MB

Orang ramai termasuk media dan badan bukan Kerajaan (NGO) diminta memberi kerjasama dengan melaporkan kegiatan pembalakan haram di Perak kepada kerajaan negeri, polis dan Jabatan Perhutanan bagi membolehkan pihak berkenaan mengambil tindakan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata jika kegiatan itu membabitkan penjawat awam ia perlu dilaporkan kepada beliau terlebih dahulu dan tindakan segera akan diambil bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat dapat diperbaiki dan tiada penjawat awam melakukan salah laku.

“Saya gembira apabila sebuah badan bukan kerajaan berjumpa dengan saya dan menyerahkan dokumen bekerjasama dengan kerajaan bagi pemuliharaan alam sekitar.

Kerajaan Negeri Perak komited untuk bekerjasama dengan semua pihak terutama usaha untuk menjaga alam sekitar,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Lestari Komuniti dan Alam Sekitar di Kampung Dew di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan muka depan sebuah akhbar hari ini mengenai kononnya berlaku pembalakan haram dan kemusnahan alam sekitar di negeri ini.

Laporan itu menyebut syarikat pembalakan sanggup menawarkan habuan yang mencecah sehingga RM30,000 kepada segelintir anggota penguatkuasa sebagai habuan meninjau kawasan berpotensi bagi menjalankan kegiatan pembalakan.

– BERNAMA