Malaysia Dateline

Beri keutamaan bela nasib pembeli rumah PR1MA

Isu Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dilihat masih tiada kesudahan selepas hampir tiga tahun Zuraida Kamaruddin dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir berkata, beberapa persoalan lain pula muncul dan memerlukan penjelasan terkait dengan keputusan yang telah Zuraida lakukan berhubung isu rumah PR1MA

“Sebagai contoh, terdapat beberapa kekeliruan jika dilihat kepada jawapan menteri di Parlimen.

“Pada 17 Oktober 2019, menteri menyatakan bahawa 56 fasa projek pembangunan bernilai RM9.98 bilion di bawah PR1MA telah dibatalkan.

“Namun, pada 7 Disember 2020, menteri yang sama pula menyebutkan jumlah projeka PR1MA yang telah dibatalkan adalah 32 projek,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Akmal, sejumlah RM 172 juta wang telah dibelanjakan hingga kini bagi membayar pampasan berikutan pembatalan projek PR1MA di beberapa kawasan.

Jelasnya, terdapat juga beberapa projek terbengkalai atau lewat yang masih tidak diketahui statusnya seperti di Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan beberapa tempat lagi.

“Di Johor sendiri, terdapat kes di Rumah PR1MA (Residensi) Tebrau yang sepatutnya diadakan penyerahan kunci pada 2018 lagi.

“Namun, hingga kini tiada kesudahan walaupun tarikh siap projek telah beberapa kali dipinda,” ujarnya.

Sehubungan itu, Akmal yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menggesa Zuraida segera mendedahkan senarai setiap pemaju serta kos pampasan yang perlu dibayar kepada mereka bagi 32 projek yang telah dibatalkan.

Tegasnya, menteri Bersatu berkenaan juga perlu mendedahkan senarai projek yang dipinda tarikh siap, senarai projek lewat dan terbengkalai.

“Saya juga mendesak agar rakyat yang terpaksa menanggung kerugian akibat kelewatan rumah PR1MA perlu diberikan bayaran penuh Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD), bukan hanya pemaju yang dijaga,” tambahnya lagi.