Malaysia Dateline

Beri kontrak kerajaan: ‘Dia suarakan pendapat, kita tak pegang pada itu’

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kenyataan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mengarahkan pemberian kontrak secara kronisme adalah pandangan peribadi beliau dan tidak sama sekali mewakili parti

.”Itu bukan keputusan parti, dia suarakan pendapat dia dan kita tak pegang pada itu.

” Kita tak mahu buat macam Najib (bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tub Razak) buat, bagi (projek) kepada kawan-kawan.

“Kita akan pertimbang semua projek diberi ikut tender, siapa ada kebolehan boleh masuk tender dan kalau boleh buat terbaik kita bagi,” katanya Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya media selepas menghadiri ‘Program Back to School eKasih Langkawi ‘ di Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang, Langkawi, hari ini.

Pada Ahad Abdul Rashid dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan kali ke-2 Bersatu di Putrajaya berkata, peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) perlu dikembalikan supaya sistem itu dapat memanfaatkan ketua bahagian dan ketua cawangan supaya mereka dapat ‘memulangkan’ semula faedah yang diperoleh demi kebaikan masyarakat setempat.

Beliau dilaporkan berkata dengan mengembalikan semula peranan JPP, segala projek pembangunan dapat disalurkan kepada ketua bahagian dan ketua cawangan.