Beri kontrak pada syarikat suami Hannah Yeoh, Kerajaan Selangor tak salah – Azam Baki

Oleh WAN SITI AMINAH

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penganugerahan kontrak Kerajaan Negeri Selangor kepada sebuah firma yang dikaitkan dengan suami Menteri Belia dan Sukan iaitu Hannah Yeoh bukanlah satu kesalahan.

Agensi antirasuah itu juga tidak melihat adanya sebarang kaitan di antara pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Kerajaan Selangor dengan menteri daripada Kerajaan Perpaduan terbabit.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, kesalahan hanya akan berlaku jika kontrak tersebut diberikan oleh Hannah mahupun kementerian yang diterajuinya kepada syarikat milik suami beliau, lapor Berita Harian.

“Saya tidak mengetahui lanjut mengenai kes itu. Tetapi apa yang ingin saya katakan, sekiranya satu kontrak yang tiada kena mengena dengan tugas (pihak yang dibangkitkan) ia bukanlah satu kesalahan.

“Saya tidak nampak ia mempunyai kaitan antara Kerajaan Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetapi ia berlainan sekiranya KBS yang memberi kontrak itu kepada syarikat berkenaan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Respon itu diberikan Azam ketika mengulas isu berhubung pemberian kontrak inisiatif Mobiliti Selangor kepada syarikat Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobility) yang dikaitkan dengan suami Hannah, Ramachandran Muniandy.

Terdahulu, Ng Sze Han selaku Exco Selangor memaklumkan Asia Mobility merupakan salah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk menjalankan projek perintis DRT.

Perkara itu telah menimbulkan perbincangan hangat sehingga pelbagai pihak mahu satu siasatan menyeluruh dijalankan untuk memastikan penganugerahan projek itu bukan disebabkan ‘layanan istimewa’.

Mengulas lanjut, Azam berkata berdasarkan pemerhatiannya di dalam laporan media berhubung isu tersebut, projek terbabit didapati telah diberikan entiti lain yang tidak mempunyai kaitan dengan Hannah.

“Jadi setakat ini, kita tidak nampak apa-apa kesalahan.” Ulas Azam di dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik Malaysia.

Sekadar info, Ramachandran Muniandy merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di Asia Mobility dan kedua-dua firma yang berjaya meraih kontrak tersebut sudah mendapat kelulusan dari Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Baca juga: “You Malaysia punya orang ka?”, tular video warga asing kena ‘sound’ ambil minyak masak paket