Malaysia Dateline

Beri kuasa pada KPN tangani masalah disiplin pasukannya – Patriot

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) percaya bahawa Ketua Polis Negara (KPN) mempunyai kuasa penuh terhadap anggota pasukan keselamatannya termasuk menyingkirkan pegawai yang menjadi tali barut dalam pasukan berkenaan.

Presidennya, Datuk Mohamed Arshad Raji berpendapat, KPN memiliki kuasa penuh dan tidak perlu merujuk anggotanya kepada badan disiplin Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) jika benar anggotanya terlibat dengan masalah disiplin sehingga mempengaruhi tugas pasukan.

Menurutnya, Abdul Hamid sedang berusaha keras untuk mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan polis dan ianya dapat direalisasikan jika dia diberi kepercayaan penuh untuk melakukan perubahan tanpa gangguan luar.

“Kenyataan KPN baru-baru ini mengenai sikap pegawainya sendiri kerana membocorkan operasi yang dirancang untuk menangkap Nicky Liow, mencerminkan kekecewaannya bahawa amaran kerasnya tidak dipatuhi oleh beberapa orang yang keras kepala.

“Dia tidak punya pilihan lain selain perlu secara terbuka mengambil tindakan drastik dan menyingkirkan mereka yang didapati telah mencemarkan nama baik pasukan kerana terlibat dalam kegiatan jenayah

“Patriot percaya bahawa KPN mempunyai kuasa yang cukup tegas untuk mengawal anggota pasukan tanpa perlu merujuk kepada badan disiplin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Arshad berkata, semua pihak perlu percaya kepada kuasa Abdul Hamid seperti mana beliau mengendali kes beberapa pegawai polis yang terlibat dengan penipuan Macau Scam.

“Patriot berpendapat bahawa masalah disiplin yang mempengaruhi anggota pasukan akan diurus dengan baik dan ditangani oleh KPN dengan berunding bersama Pengarah pasukan tersebut,” katanya lagi.

Terdahulu, Abdul Hamid mendedahkan terdapat pegawai dan anggotanya yang membocorkan maklumat dalam usaha polis memburu Ketua Penjenayah Komersial yang juga Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mendapati berlaku kebocoran maklumat apabila Nicky, 33, berjaya memindahkan sejumlah besar wang dibawa keluar dari premis di SetiaWalk, Puchong, Selangor.

Nicky dipercayai mengetahui maklumat mengenai operasi yang bakal dibuat pada 20 Mac lalu itu daripada pegawai dan anggota polis dan agensi penguat kuasa lain yang berada di bawah kawalannya