Malaysia Dateline

Beri manfaat kontrak balak pada keluarga termasuk dalam kesalahan jenayah

Pengerusi Save Kelantan Datuk Husam Musa berkata, pemberian manfaat di dalam kontrak pembalakan kepada pihak yang ada hubungan kekeluargaan, boleh termasuk dalam kesalahan jenayah.

Katanya, kedudukan Datuk Hanifa Ahmad atas kapasiti beliau sebagai Exco Kerajaan Negeri Kelantan di syarikat Daulah Najah dibimbangi ada unsur pertindihan kepentingan atau ‘conflict of interest’.

“Kalau ia syarikat persendirian, saya tak akan ungkit apa-apa kerana pemiliknya bebas buat sesuka hati.

“Kerana Daulah Najah anak syarikat Kerajaan Negeri lah saya bangkitkan kemungkinan adanya unsur pertindihan kepentingan atau conflict of interest.

“Duduknya YB Dato Hanifa sebagai mewakili kerajaan atas kapasiti beliau sebagai Exco bermakna beliau memikul kedudukan dan akibat sebagai penjawat awam,” kata beliau.

Beri manfaat kontrak balak pada keluarga termasuk dalam kesalahan jenayah
Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Hanifa Ahmad

Husam berkata demikian berikutan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah mendakwa beliau cuba memanipulasi fakta ses Daulah Najah yang diberikan lesen membalak.

Husam juga mempersoalkan adakah kontrak balak itu diberikan oleh Daulah Najah secara tender terbuka dan berapa harga yang dikenakan?

“Bila berlaku laporan kecurian, apa tindakan yg telah diambil oleh YB D Hanifa dan ahli lembaga yg lain?

“Semua itu memerlukan pemakluman kepada Rakyat. Jangan diam membisu dan membuli pihak yg menuntut ketelusan.

“Daulah Najah diberikan kawasan membalak untuk bayar hutang lebuh raya yang dimulakan oleh saya.

“Saya berbangga dengan apa yg saya mulakan. Sebahagian laluan itu Alhamdulillah dah pun siap. Dulu orang kata mustahil.

“Boleh tak Tmb beritahu Rakyat Kelantan bayaran untuk apa?

“Berapa bayaran itu?” soal Husam.

Pemilik tunggal Al Dar Resourcess Sdn Bhd yang mendapat kontrak untuk menebang balak milik Daulah Najah, anak syarikat kerajaan negeri, mempunyai hubungan keluarga dengan Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Hanifa Ahmad.

Husam mendakwa, pemilik tunggal Al Dar Resourcess adalah Mohamad Haffiz bin Mohd Rasdin yang memiliki 1,000,000 share syarikat berkenaan.