Malaysia Dateline

‘Beri pandangan boleh, tapi jangan berpolitik dengan fitnah’

Menyelusuri minit awal ucapan, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mengenang kembali saat-saat sukar AMANAH berjuang bersama empat lagi parti kerajaan demi memperkenal tampuk pimpinan negara yang telus dan adil.

Menekankan konsep Rahmat Untuk Semua, Mohamad mengingatkan tentang politik fitnah yang perlu dihindari oleh setiap ahli AMANAH agar tidak terlibat dalam fitnah yang semata-mata mahu menonjolkan kebaikan diri.

Malah dalam ucapannya, Menteri Pertahanan itu menyentuh peranan AMANAH yang memikul tanggungjawab menjadi medan kepada penyelesaian dan perdamaian dan bukannya mencetuskan lagi permasalahan.

“Untuk kita terlibat dalam politik, memberi pandangan kita adalah baik tapi jangan sesekali terlibat dalam fitnah kerana bila kita reka cerita tentang orang lain, orang juga akan reka cerita terhadap kita.

“Kita saling menegur, mengkritik, bukan saling memfitnah. Inilah harapan kita agar parti AMANAH lebih berkembang. AMANAH sekarang disertai oleh ahli daripada golongan bukan Melayu.

“Kita kena menyesuaikan dengan kehadiran mereka agar rakan-rakan bukan Islam sama-sama mendokong konsep Islam iaitu bawa Rahmat Untuk Semua,” jelasnya.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata demikian semasa ucapan perasmiannya dalam Konvensyen Angkatan Wanita AMANAH Nasional kali keempat, di Bangi Convention Centre, malam tadi.

Turut hadir, Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Dr Hassan Baharom; Pengarah Strategi AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Timbalan Pengarah Biro Pilihan Raya AMANAH Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi dan Pengerusi AMANAH Selangor, Izham Hashim.

Usaha turun ke lapangan menerangkan kejayaan kerajaan PH memerintah negara akan digiatkan mulai Januari depan.

Sementara itu, Mohamad turut menyentuh tentang gerak kerja kerajaan yang tidak didedahkan secara menyeluruh sehingga menimbulkan persepsi kerajaan tidak ‘membuat kerja’.

Namun katanya, manifesto Pakatan Harapan (PH) telah dilaksanakan sehingga 52 peratus janji ditunaikan tetapi dilihat sebaliknya oleh rakyat.

“52 peratus janji dalam manifesto PH kita dah tunaikan. Tapi kejayaan besar ini rakyat tidak tahu. Ini yang penting. Selepas dari konvensyen iaitu pada tahun depan kita akan turun secara besar-besaran menemui rakyat di seluruh pelosok negara tanpa ada yang tertinggal.

“Kerana sekarang kita sedang berada di hujung tahun, kita banyak sibuk dengan persiapan persekolahan anak.

“Jadi mulai Januari, kita akan bergiat turun ke bawah menerangkan kejayaan kerajaan PH memerintah Malaysia,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Mohamad yang juga bekas Timbalan Presiden Pas itu turut memanjangkan harapan agar Wanita AMANAH (AWAN) menjadi pelopor kepada duta agenda Rahmatan Lil Alamin yang menjadi medan politik dakwah.

Tegasnya, AWAN perlu menyantuni semua golongan sasar termasuk semua kaum, kanak-kanak, orang tua, orang miskin, gelandangan, dan juga pelarian.

“Kalau sebut perut anak Melayu yang lapar, kita perlu sedar ia sama seperti perut anak Cina dan India yang juga lapar. Kita tidak boleh membezakan mereka, kerana Rahmat Untuk Semua adalah menyantuni tanpa perbezaan taraf.

“Kita memilih perjuangan berdasarkan fiqh, syariah, maqasid dan gabungan kesemua itu lahirlah suasana Rahmat Untuk Semua kerana memang konsep ini perlu diutamakan sekarang ini,” hurainya lagi.

Perwakilan Wanita AWANAH terdiri daripada berbilang kaum.