Malaysia Dateline

Beri peluang kepada anak muda rangka polisi

Wan Anwar Wan Ibrahim

Biro Undang-Undang Pemuda Pakatan Harapan, Wan Anwar Wan Ibrahim menggesa golongan muda supaya diberi peluang untuk terlibat dalam proses membuat polisi dan menentukan masa depan negara ini.

Bercakap dalam forum ‘Hala Tuju Pemuda Harapan’ di Invoke semalam, beliau berkata, blok Pakatan Harapan akan membebaskan anak muda daripada rasa putus asa ekoran ruang yang terhad dalam proses demokrasi sebelum ini.

“Kita patut beri ruang melatih mereka (anak muda) dari peringkat kerajaan tempatan sehingga ke setinggi-tinggi tahap di Parlimen. Kita patut meramaikan lagi ahli dewan kita di peringkat rakyat dan negara.

“Wujudkan kembali pilihan raya tempatan untuk kita memberikan ruang kepada anak muda bercakap. Kita mahu bercakap soal tentang apa harus dibuat nanti,” sarannya.

Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang (KANUN) AMANAH) itu berkata, selagi Putrajaya dikuasai rejim Umno-BN, anak muda sukar untuk melihat masa depan yang cerah.

“Wawasan 2020 belum dicapai. Ini kita bercakap soal TN50 (Transformasi Nasional 2050). Harapan dan masa depan anak muda masih lagi pudar bagi selagi dipimpin Umno-BN,” ujarnya.

Sehubungan itu, Wan Anwar menyifatkan ruang penyertaan kepada anak muda dalam proses demokrasi di negara ini akan membantu kepada lahirnya budaya politik yang lebih baik.

“Selepas PRU-14, anak muda kita berada dalam keadaan lebih baik dan meremajakan politik negara kita,” katanya lagi yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional.