Malaysia Dateline

Beri peluang Latheefa tingkat keberkesanan SPRM, kata Ikram

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) berpandangan lantikan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru, Lateefa Beebi Koya tidak bercanggah dengan mana-mana prosidur yang telah ditetapkan oleh Akta SPRM dan telah diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong.

Demikian dinyatakan oleh Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad dalam kenyataan beliau hari ini.

Jelasnya lagi, berdasarkan kepada pengalaman dan kelayakan Lateefa Koya, maka beliau wajar diberi peluang untuk menerajui suruhanjaya penting tersebut.

Malah katanya, IKRAM optimis bahawa beliau dapat menjayakan aspirasi Malaysia Baharu dalam membanteras rasuah sehingga ke akar umbi berdasarkan kepada ketegasan dan kewibawaan beliau sepertimana yang telah diperlihatkan setakat ini.

“Rasuah dan salah guna kuasa yang juga merupakan salah satu musuh utama negara perlu diberi perhatian segera dan dikawal dengan efektif agar hasrat untuk mengangkat Malaysia Baharu yang bersih dan berintegriti menjadi realiti.

“Dalam pada itu, IKRAM menyeru agar kerajaan segera mewujudkan kawalan perundangan dan polisi pentadbiran yang bersesuaian.

“Ini adalah bagi menjayakan agenda reformasi institusi-institusi kerajaan sepertimana yang telah menjadi aspirasi untuk dijayakan sejak sekian lama, ” ujarnya lagi.