Malaysia Dateline

Beri peluang PH habiskan penggal pentadbiran

Pakatan Harapan (PH) wajar diberi peluang untuk menghabiskan penggal pentadbirannya tanpa sebarang gangguan yang membelakangi demokrasi melalui pelbagai cara seperti memanipulasi sistem dan kuasa.

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN), Senator Aiman Athirah Al Jundi menegaskan, PH akan terus komited mempertahankan mandat rakyat yang diperoleh ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Beliau berkata, mandat yang diberikan rakyat perlu dipertahan bagi membolehkan PH meneruskan usaha untuk membina semula negara.

“Senarai 114 ahli parlimen yang menyokong Tun Dr Mahathir bagi meneruskan mandat pentadbiran PH telah pun dikeluarkan. Jumlah sokongan sebenarnya adalah lebih daripada itu.

“Ia sengaja dikeluarkan bagi memastikan rakyat sendiri dapat melihat dan menjadi saksi kepada nama-nama wakil rakyat masing-masing yang teguh mempertahankan prinsip dan integriti, sekaligus menjadi manusia hebat yang tidak akan mudah untuk dijual beli.

“Semua ahli parlimen berkenaan telah menandatangani Akuan Berkanun (SD) bagi menyokong YAB Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, dan beliau (Dr Mahathir) akan bertindak meneruskan mandat pentadbiran yang diberikan rakyat kepada PH,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Aiman Athirah, kepimpinan PH juga telah berusaha untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mengemukakan senarai ahli parlimen yang menyokong PH dengan jumlah majoriti untuk terus mentadbir negara, sejak kelmarin.

Namun katanya, ianya masih belum berjaya dilakukan memandangkan pihak Istana Negara tidak memberikan ruang.

“Beri masa kepada kepimpinan PH untuk membuat segala proses dengan mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

“Kami perlu memastikan bahawa segala tindakan yang diambil selepas ini, adalah hormat dan sah mengikut semua proses yang diizinkan oleh Perlembagaan negara kita.

“Justeru, saya berharap semua bertenang, berdoa dan meneruskan rutin harian masing-masing. Majlis Presiden PH akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa,” ujarnya lagi.