Malaysia Dateline

Beri perhatian kepada veteran tentera, lantik pegawai khas, pinta Perwakilan Perlis

Perwakilan Perlis Muhamad Saad @ Yahya merayu kepada Presiden AMANAH yang juga Menteri Pertahanan Mohamad Sabu agar memberi perhatian kepada 375,000 veteran tentera di seluruh negara.

Menurut beliau, kumpulan veteran ini kebanyakan memilih untuk mengundi AMANAH pada PRU14 lalu.

“Bukan itu sahaja, 240,000 veteran yang tidak berpencen perlu diberi perhatian serius, mereka bukannya hiduo senang bahkan ada yang sama taraf dengan Nepal dan Bangla,” katanya ketika membahaskan Pidato Presiden di Konvensyen AMANAH yang sedang berlangsung pada hari ini.

Justeru, beliau mencadangkan agar Menteri Pertahanan meletakkan seorang pegawai khas bagi menyelaraskan kebajikan veteran ini.

“Pegawai ini tidak perlu ikut menteri ke sana ke sini,” katanya.

Beliau juga menegur Timbalan Presiden AMANAH yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub agar tidak lupa jalan ke negeri Perlis.

Katanya, 90 peratus rakyat negeri itu adalah petani yang mengusahakan pertanian harum manis, ikan pekasam dan sedikit sahaja sebagai pesawah.

“Tujuh bulan jadi menteri pertanian tidak jumpa cari jalan ke Perlis, Kita jadi menteri rasa seronok, sedangkan kami di bawah diperleceh kerana menteri tak dan nak tengok hangpa.

“Minta jasa baik lihatlah kembali rakyat,” katanya yang diikuti tepukan gemuruh perwakilan.