Malaysia Dateline

Beri peruntukan tambahan untuk barisan depan

Kerajaan digesa menyediakan peruntukan kewangan tambahan kepada petugas barisan hadapan yang kini dilihat sedang bertungkus-lumus membendung penularan wabak Covid-19.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dalam kenyataan bersama hari ini berkata, peruntukan tambahan itu seharusnya disediakan, dan bukannya menggunakan peruntukan sedia ada agensi terbabit.

“Kami menggesa mereka yang berada di barisan hadapan seperti doktor, jururawat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), polis trafik, pegawai Imigresen, pegawai kebajikan masyarakat dan pegawai penguatkuasa di peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah dibekalkan dengan peralatan keselamatan seperti topeng muka dan pembersih tangan (hand sanitizer) dengan kadar segera.

“Kita wajar melindungi mereka yang sedang berusaha melindungi kita di rumah,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri dan timbalan menteri itu menerusi satu kenyataan.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sehingga jam 12 tengah hari semalam, terdapat 110 kes baharu yang telah dilaporkan.

Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 900 kes.

Berdasarkan siasatan awal, daripada 110 kes baharu yang dilaporkan, sebanyak 63 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.