Rakyat ketika ini mengharapkan penangguhan bayaran bulanan ataupun moratorium, dan bukannya mahu menambahkan lagi beban hutang, kata Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.
Susulan pemakluman dibuat oleh kerajaan yang membenarkan pengoperasian syarikat Kredit Komuniti (KK) atau Pemberi Pinjam Wang (PPW), Adun Paloh itu menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh dilihat seperti menggalakkan rakyat untuk terus menambah hutang.
Ini katanya, menggambarkan sikap yang culas dan tidak bertanggungjawab kerana apa yang rakyat mahukan adalah moratorium dan sokongan kewangan.
“Sewaktu penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perniagaan tidak dapat berjalan seperti biasa, ramai yang hilang pekerjaan dan hilang mata pencarian.
“Rakyat berharap agar kerajaan tangani isu Covid-19 dengan segera termasuk soal pembekalan vaksin lebih cepat dan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka.
“Jika kerajaan mengambil tindakan yang pantas, sekurang-kurangnya sektor-sektor ekonomi rakyat boleh segera dibuka dan dipulihkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui laman Facebooknya memaklumkan bahawa sektor Pemberi Pinjam Wang (PPW) dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP).
Dalam pada itu Sheikh Umar berkata, kerajaan sepatutnya merangka pelan pemulihan ekonomi lebih inklusif dengan mengemukakan jalan keluar, dan bukannya menambah beban ekonomi rakyat pada fasa pandemik ini.