Malaysia Dateline

Beri ruang kepada SPRM siasat Tinagaran

Berikan ruang sepenuhnya kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan teperinci berhubung penahanan Timbalan Pengerusi PKR Negeri Perak, Saudara M A Tinagaran semalam.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor Dzulhilmi Zainol berkata, pelbagai persepsi serta andaian yang tidak sewajarnya timbul apabila M A Tinagaran yang ditahan untuk membantu siasatan.

“Ini merupakan satu proses perundangan yang biasa diamalkan apabila terdapat beberapa dakwaan yang perlu dijalankan siasatan.

“Terdapat beberapa media rasmi tanah air telah mendakwa serta melakukan tuduhan tanpa sebarang usul periksa berkaitan siasatan tersebut,” katanya.

Sebuah laman berita rasmi iaitu Malaysia Now telah mengeluarkan satu kenyataan yang mendakwa bahawa sejumlah wang bernilai jutaan ringgit telah dirampas.

Beliau kesal apabila satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan jelas ianya bercanggah terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di bawah seksyen 211 dan 233 serta wajar kenyataan tersebut ditarik balik.

“Saya menggesa supaya seluruh anggota Parti KEADILAN terutamanya di Perak dan rakyat Malaysia secara amnya untuk memberi ruang dan peluang buat pihak SPRM dan pihak polis melakukan siasatan yang adil tanpa wujud sebarang campur tangan politik,” katanya.

Ahli politik itu ditahan oleh anggota SPRM pagi ini setelah dia dipanggil ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan.

Sumber memberitahu bahawa Thinagaran ditahan atas alasan bagi membantu siasatan terhadap projek pembangunan di Perak.