Beri ruang kerajaan PH bawa pembaharuan, kata Anwar

Beri ruang kerajaan PH bawa pembaharuan, kata Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap kerajaan pimpinan Pakatan Harapan ke arah Malaysia Baharu mampu membawa pembaharuan sepertimana yang diharapkan.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pidato ‘Malaysia Baru’ yang diadakan di Dewan JKKK, Tanjong Piandang, Parit Buntar, Perak semalam.

Jelas Anwar lagi, kerajaan baru pimpinan Tun Mahathir dan barisan kabinet yang baru dilantik harus diberi ruang bagi membawa pembaharuan.

“Kerajaan yang baru menang pilihan raya umum 9 Mei yang lalu mampu untuk membawa pelbagai reformasi sepertimana yang dijanjikan.

“Cumanya ia harus diberi masa yang cukup untuk melaksanakan agenda pembaharuan yang sudah pasti memberi banyak manfaat kepada rakyat.

“Cukai GST sudah pasti akan dihapuskan dalam tempoh sepertimana yang dijanjikan dalam tempoh terdekat, cumanya kita perlu bersabar dan beri sedikit ruang untuk ia dilaksanakan, ” ujarnya lagi sambil mendapat tepukan gemuruh ribuan hadirin yang hadir.

Malah katanya lagi, kedudukan nilai mata wang negara juga mampu untuk dilonjakkan kembali.

Namun begitu ia memerlukan jangkamasa tertentu supaya ia dapat direalisasikan.

“Kerajaan kini bukan lagi kerajaan lama yang tidak boleh ditegur.

“Rakyat kini senantiasa boleh menegur kerajaan, manakala kerajaan pula boleh menerima teguran dari rakyat.

“Kita jangan lupa kerana rakyatlah, maka kerajaan baru mampu wujud apabila BN dikalahkan dalam pilihan raya umum yang lalu, ” tegasnya lagi.

Beliau juga menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga kerana perjuangan selama 20 tahun bagi mengembalikan kuasa rakyat menjadi kenyataan pada tahun ini.

Tambahnya lagi, dengan mandat yang diberikan rakyat, maka pelbagai reformasi termasuklah pendidikan, ekonomi dan sebagainya boleh dilaksanakan.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Exco Kerajaan Negeri Perak, Abdul Yunus Jamhari, Pengerusi PKR Negeri Perak, Dr Muhammad Nor Manuty dan kepimpinan PH Perak.

Orang ramai yang hadir untuk mendengar ceramah yang disampaian oleh pimpinan PH di Perak.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote