Malaysia Dateline

Beri ruang Mahathir pimpin kerajaan selama tempoh dipersetujui, kata Anwar

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Tun Dr Mahathir Mohamad perlu diberi ruang untuk memimpin kerajaan selama tempoh yang dipersetujui.

Beliau berkata perdana menteri mendapat sokongan padu Pakatan Harapan.

“Berjumpa dengan PM @chedetofficial (Mahathir) selama sejam. Tun M mesti diberi ruang untuk memimpin kerajaan selama tempoh yang telah kami persetujui.

“Beliau mendapat sokongan padu PH,” kata beliau menerusi mesej twitter serta memuat naik gambar bersama Dr Mahathir semalam.

Ahad lepas, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan itu  mengulangi pendirian beliau perlu akur kepada janjinya untuk hanya berkhidmat sebagai perdana menteri sementara,  meskipun terdapat gesaan supaya beliau terus menyandang jawatan itu sehingga pilihan raya umum akan datang.

Selain itu Anwar turut mendedahkan bahawa beliau dan Dr Mahathir mempersetujui strategi yang sama berhubung isu Singapura selain memberi tumpuan terhadap ekonomi lebih-lebih lagi berkaitan kemiskinan dan ketidaksamaan.

Anwar yang dinamakan sebagai pengganti Dr Mahathir berkata beliau turut berkongsi dengan Dr Mahathir tentang pertemuannya baru-baru ini dengan Presiden Filipina Rodrigo Duterte serta meminta nasihat perdana menteri berhubung pertemuannya dengan Perdana Menteri India Narendra Modi minggu depan.