Beri ruang pada madrasah, kata pengetua tahfiz

Beri ruang pada madrasah, kata pengetua tahfiz

Selepas kematian tragis pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffie mengundang perhatian orang ramai, pengetua Madrasah Tahfiz Al Jauhar di Kota Tinggi, Johor merayu orang ramai supaya tidak menghukum keseluruhan institusi pengajian agama swasta itu.

Mohammad Afdhaluddin Ismail dalam satu kenyataannya yang tular di media sosial mengakui dirinya adalah individu paling terkilan dengan nasib menimpa kanak-kanak berusia 11 tahun itu.

“Saya harap, tuan puan beri ruang pada madrasah. Sikap individu tidak patut membusukkan madrasah secara keseluruhan. 

“Apa lagi madrasah-madrasah lain yang tak terlibat pun. Bila orang ramai turut memandang serong pada institusi madrasah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan pihaknya sebelum ini mendapati memang benar pembantu warden yang disebutnya sebagai Syafiq memukul pelajar menggunakan getah paip di tapak kaki.

“Syafiq salah kerana memilih getah paip. Memang salah. Tak pasti apa yang dia fikir. Tapi saya terima kemudian bila kadarnya tidak patut mencederakan pelajar. Allahu mustaan. 

“Saya sangat marah kerana mengapa getah paip. Saya buat teguran dan beri amaran. Sebilangan pelajar dipanggil, diperiksa kaki. 

“Alhamdulillah. Tiada kecederaan. Dan pelajar terlibat terima keadaan itu bila Syafiq minta maaf pada semua lepas Syafiq ditegur,” ujarnya.

Menurutnya, semua guru kanan turut membuat teguran kerana tidak menerima kaedah memukul pelajar menggunakan kaedah tersebut.

“Cuma masa itu kita terima permohonan maaf kerana puas hati bila tiada kecederaan pada fizikal pelajar,” kata Afdhaluddin lagi.

Untuk rekod, pembantu warden berkenaan ditahan polis di rumahnya di Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi pada 22 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman turut mengesahkan pihaknya menerima satu laporan daripada ibu Thaqif iaitu Felda Wani Ahmad yang mendakwa anaknya dipukul oleh warden sekolahnya dengan paip getah paip.

COMMENTS

Wordpress (0)