Beri ruang pemandu e-hailing membela diri, sebelum dijatuhi hukuman, gesa KPePM

Beri ruang pemandu e-hailing membela diri, sebelum dijatuhi hukuman, gesa KPePM

Komuniti Pemandu eHailing Penggerak Malaysia (KPePM) menggesa syarikat e-hailing supaya memberi ruang kepada pemandu untuk membela diri, sebelum hukuman dijatuhkan terhadap mereka.

Zulkefli Zainuddin

Pengerusi KPePM, Zulkefli Zainuddin mendedahkan, kira-kira 250 pemandu dari seluruh negara yang berdaftar telah ditamatkan perkhidmatan.

Beliau menambah, sebelum ini terdapat juga pemandu yang diberhentikan perkhidmatan ketika mereka sedang berkerja.

”Ketika pemandu itu sedang bekerja, aplikasi yang digunakan itu telah ditutup oleh syarikat e-hailing. Itu cara yang zalim dan tidak betul.

“Maknanya, pemandu itu tidak boleh meneruskan kerjanya untuk mengambil penumpang yang seterusnya.

“Alasan yang diberikan syarikat e-hailing ialah, penumpang membuat aduan dan pembatalan daripada penumpang (cancellation rate) yang dicampurkan dengan pembatalan daripada pihak pemandu itu sendiri.

“Ada pemandu yang diberhentikan perkhidmatan untuk tempoh seminggu, namun ada juga yang ditamatkan perkhidmatan secara tetap (permanent ban),” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Dateline, selepas Sesi Dialog Bersama Pemandu E-Hailing yang diberhentikan tanpa notis, di Dewan Blok 34, Flat Seri Melaka, Cheras, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa syarikat e-hailing supaya memperkemaskan siasatan dalaman, sebelum membuang seseorang pemandu.

“Jika ada penumpang yang mengadu tentang seseorang pemandu, pemandu itu perlu dipanggil ke pejabat dan siasatan secara mendalam perlu dijalankan terlebih dahulu bagi mengenal pasti punca.

“Bagi mencari jalan penyelesaian, pihak kami juga bersedia untuk berjumpa dengan semua syarikat e-hailing bagi membincangkan masalah ini,” jelasnya lagi.

Ng Kian Nam

Sementara itu, Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivik MCA, Ng Kian Nam berkata, untuk tindakan jangka pendek, pihaknya akan membantu pemandu-pemandu tersebut membuat rayuan kepada syarikat e-hailing yang berkenaan.

“Pihak kami menerima banyak aduan mereka itu diberhentikan secara tidak adil, iaitu tidak mengikut hak asasi semula jadi.

“E-hailing merupakan satu industri baharu. Jadi kami mendapati, banyak masalah undang-undang yang tidak memberi perlindungan kepada pemandu tersebut, khususnya pemandu yang tidak membuat salah dan diberhentikan begitu sahaja.

“Tindakan jangka panjang pula, kami sudah menulis surat kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk menjemput beliau mengadakan satu sesi dialog bersama pemandu, bagi mendengar masalah dan menjaga kebajikan pemandu berkenaan,” katanya.