Malaysia Dateline

Beri ruang Presiden Umno atur strategi hingga 2021, kata BN

Datuk Ahmad Masrizal Muhammad

Ahli Umno diminta memberi sedikit ruang kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menyusun semula parti seperti mandat yang diberikan perwakilan sehingga 2021.

Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN), Datuk Ahmad Masrizal Muhammad berkata, ia sekali gus usaha Presiden Umno itu mengorak langkah bagi memacu semula parti dalam misi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun jelasnya, usaha itu tidak pernah melibatkan sebarang pelan untuk membawa Umno bergabung dengan DAP.

“Berlegar-legar di alam maya terutamanya dalam kumpulan Whatsapp akan dakwaan bahawa Ahmad Zahid ingin membawa Umno bersama DAP.

“Ia tercetus lantaran daripada perjumpaan tertutup antara Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dengan Ahli Jawatankuasa Bahagian Umno yang dieksploitasi pihak-pihak berkepentingan sehingga menimbulkan pelbagai tafsiran dan polemik politik.

“Sesungguhnya, ia adalah satu lemparan tuduhan yang sungguh berat dan satu tohmahan politik yang cukup keterlaluan. Ia sesuatu yang bersifat palsu dan amat jauh daripada kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Khamis seperti dipetik Astroawani.

Jelas Ahmad Masrizal, terlalu banyak spekulasi melibatkan Ahmad Zahid akhir-akhir ini terutama isu mahu bersama DAP.

“Tiada sebarang logik untuk mengaitkan Ahmad Zahid dengan agenda bersama DAP seperti berita yang tersiar di alam maya.

“Ahmad Zahid tidak pernah menyuarakan hasrat atau membenarkan sebarang usaha Umno untuk bergabung dengan DAP di mana-mana pentas mahu pun media. Jauh sekali untuk mengadakan sebarang rundingan politik dengan parti itu.

“ Ahmad Zahid ditakdirkan untuk menakhodai parti tertua dalam era sebagai pembangkang, “ujarnya lagi.

Tegasnya, akhir-akhir ini Umno dilihat cukup kuat ‘bergegar’ sehingga hentaman yang berlaku bukan sahaja menyinggah mengenai parti tetapi terkena langsung Ahmad Zahid.

“Presiden  Umno yang kelapan itu ditakdirkan untuk menakhodai parti tertua dalam era sebagai pembangkang.

“Ia zaman yang tidak pernah dirasai oleh mana-mana pemimpin dan ahli Umno sebelum ini dan pastinya mengolah pengalaman yang berbeza dalam konteks memimpin serta mengurus parti.

“Umno tidak seumpama Bersatu yang boleh dengan secara terbuka bersuka ria dengan DAP. Laras perjuangan Umno dengan DAP juga terlalu jauh bezanya,” katanya.

Ujarnya, konsistensi Ahmad Zahid dalam menegakkan wadah Islam serta agenda Melayu terserlah begitu ketara sejak di alam menara gading lagi.

“Jadi, apakah tidak terfikir oleh semua bahawa Ahmad Zahid itu bukanlah seorang yang mentah dalam politik? Presiden UMNO itu sudah begitu lama dalam politik dan amat tahu sepak terajangnya.

“Ahmad Zahid juga adalah seorang yang cukup kental jiwa Melayu-Islamnya. Imejnya dalam kalangan bukan Islam bukanlah cantik sangat seperti pemimpin lain lantaran sering dilabel sebagai sebagai Ultra Melayu Islam.

“Jadi mana mungkin kita boleh mudah tertipu oleh permainan politik yang dijana melalui media sosial sebegini,” ujarnya.