Beri sewa PPR kepada warga asing, DBKL bagi amaran kontrak penama, penyewa boleh ditamatkan

Oleh MAISARAH AISYA

Ada segelintir rakyat Malaysia yang sanggup mengambil kesempatan menyewakan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada warga asing dengan harga lebih mahal.

Ini menyebabkan kesukaran buat mereka yang layak namun diketepikan disebabkan sikap penting diri sesetengah pihak.

Berikutan itu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak teragak-agak untuk menamatkan kontrak penama atau penyewa kontrak PPR sekiranya terbukti menyewakan rumah mereka kepada warga asing.

Memetik Bernama, Ketua Eksekuif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Ismadi Sakirin berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut.

DBKL juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang mengambil keuntungan dengan cara tersebut.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan nilai alasan yang diberikan, contoh kalau memang tidak munasabah (beri sewa pada keluarga atau warganergara Malaysia yang lain).

“Dan kalau terbukti dia sewakan pada warga asing, memang mandatori, kita akan tamatkan penyewaan.

“Jika diikutkan memang tiada budi bicara, sebab kita bagi kadar (sewaan) sudah terlalu rendah.

“Kadang kita bagi contohnya RM140, dia mungkin sewakan RM600 atau RM800, jadi sememangnya sudah hilang kelayakan,” katanya seperti dipetik Bernama.

Bukan warga asing sahaja, keluarga penama juga tak dibenarkan

Pada masa sama, Ismadi memaklumkan penamatan kontrak turut melibatkan penama atau penyewa yang tidak tinggal di rumah berkenaan tapi membenarkan ahli keluarga menetap di situ.

Tambah Ismadi, syarat mereka yang boleh menetap di situ ialah penama atau penyewa dalam kontrak sahaja.

“Tindakan yang akan diambil jika ada sebarang laporan mengenai hal ini, pihak kami akan datang buat semakan atau taksiran.

“Contoh jika justifikasi itu dia balik kampung sekejap kemudian dia bagi adik tinggal di situ, kita akan bagi dia ruang masa untuk memperbetulkan balik kesalahan dia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ismadi menegaskan tempoh tujuh bulan akan diberikan dan jika gagal, kontrak akan ditamatkan.

Baca juga: Kes Spanco, SPRM dakwa sudah rakam keterangan bekas menteri kewangan