Beri sokongan kepada Anwar secara sukarela, 2 MP Bersatu sedia kosongkan kerusi

Oleh WAN SITI AMINAH

Dua Ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedia mengosongkan kerusi jika pindaan perlembagaan pertubuhan politik itu kelak melarang mereka menyokong pihak ketiga.

Wakil rakyat yang terbabit adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan juga Ahli Parlimen Gua Musang iaitu Mohd Azizi Abu Naim.

Mereka berdua menegaskan, ia dimuktamadkan selepas mengambil kira sokongan diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat secara sukarela tanpa dipengaruhi pihak lain mahupun faktor imbuhan.

Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh dua wakil rakyat Bersatu itu dalam satu sidang media bersama yang dilangsungkan di Pusat Media Parlimen, sebentar tadi, lapor Harian Metro.

Dalam sidang media tersebut, Datuk Syed Hussin memaklumkan sokongan diberikan kepada kepimpinan Kerajaan Perpaduan itu bersifat muktamad meskipun Bersatu ‘mengugut’ untuk mengambil tindakan.

“Saya memberikan sokongan selepas berfikir bahawa selama setahun berada di pihak pembangkang, tidak ada apapun perkara yang boleh kita manfaatkan. Maka saya bersedia (kosongkan kerusi).

“Daripada saya tarik balik sokongan (kepada Anwar) asalnya (Perikatan Nasional) tak boleh buat apa-apa. Saya rela rakyat buat keputusan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Syed Abu Hussin turut menafikan jawatan Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) diterimanya adalah satu bentuk imbuhan kerana menyatakan sokongan kepada Anwar.

Menurutnya, jawatan yang dipertanggungjawabkan ke atasnya tanpa bayaran gaji mahupun elaun itu diberikan berdasarkan pengalaman dan juga kemampuannya semata.

“Jawatan yang diberikan itu adalah berdasarkan kepada pengalaman saya dan ia terbukti melalui kaedah penjualan murah yang saya lakukan. Jawatan itu tidak bergaji dan tidak ada elaun.

“Jadi, apakah imbuhan yang dimaksudkan? Ini semata-mata khidmat kepada rakyat,” jelasnya bagi menepis spekulasi yang beredar mengenai jawatan disandangnya itu.

Terdahulu, Bersatu dilaporkan bakal mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 2 Mac ini bagi meminda perlembagaan parti susulan tindakan enam Ahli Parlimen parti itu menyatakan sokongan terhadap Anwar.

Sementara itu, seorang lagi wakil rakyat Bersatu iaitu Mohd Azizi yang hadir sama dalam sidang media berkenaan turut menyatakan kesediaan dirinya untuk mengosongkan kerusi Parlimen Gua Musang.

“Sokongan kita kepada Perdana Menteri ini adalah daripada hati kita sendiri. Kita bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengosongkan kerusi sekiranya itu adalah kenyataan yang perlu diterima.” Ulasnya.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Syed Abu Hussin, Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Baca juga: “Bila masa pula saya keluarkan kenyataan ini?”, Abby Abadi terkejut netizen kata Marissa terkena buatan orang