Malaysia Dateline

Beri sokongan kepada pemimpin atasan, kata AMANAH Batang Lupar

Ahli-ahli Parti AMANAH Kawasan Batang Lupar digesa supaya memberi sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada pimpinan AMANAH Nasional dalam menentukan hala tuju perjuangan di arus politik perdana masa kini.

Pengerusi AMANAH Kawasan Batang Lupar, Haji Kassim Rosli berkata, ahli-ahli parti haruslah memberi kepercayaan kepada pemimpin di peringkat nasional bagi merangka starategi untuk berhadapan dengan senario politik terkini.

Justeru, katanya semua ahli khususnya di Beting Maro janganlah hilang tumpuan dan sentiasa kekal setia bersama parti lebih-lebih lagi dalam suasana politik sekarang.

“Dalam suasana politik kini, saya ingin mengajak ahli-ahli AMANAH di kawasan Batang Lupar supaya memberi ruang dan peluang kepada pemimpin kita di peringkat nasional dalam merangka pelan dan tindakan struktur perjuangan seterusnya.

“Oleh demikian, adalah menjadi tanggungjawab kita semua bagi memastikan sokongan AMANAH dari Kawasan Batang Lupar tetap kuat dan utuh,” jelas beliau ketika ditemui di Kuching hari ini.

Haji Kassim turut menegaskan bahawa beberapa cawangan AMANAH lagi di Dewan Undangan Negeri (Dun) di Beting Maro bakal mendapat kelulusan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dalam masa terdekat nanti.

“In shaa Allah, kita juga akan turun ke kawasan nanti bagi mengadakan sesi penerangan berkaitan situasi politik semasa kepada semua ahli di cawangan-cawangan.

“Malah, kita turut sentiasa turun padang bagi menyantuni penduduk dan masyarakat dalam program yang dirancangkan sebelum ini,” jelas beliau.