Malaysia Dateline

Tan Sri Abdul Rashid Abd Rahman

Beri SPR ‘gigi’ kawal parti politik

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) mengesyorkan pemindahan fungsi pendaftaran parti politik diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusinya, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, berkata ERC yang ditubuhkan pada Ogos 2018 itu mahu SPR diberikan tanggungjawab terhadap parti politik di negara ini.

Menurut bekas Pengerusi SPR itu, tanggungjawab tersebut membolehkan mana-mana parti politik yang melakukan salah laku dikenakan tindakan.

“Ia sudah mendapat persetujuan daripada parti politik.

“Berilah sedikit ‘gigi’ supaya SPR dapat kawal parti politik,” katanya pada sidang media hari ini.

Bagaimanapun, Ab Rashid berkata, ia bukan berniat untuk merendahkan fungsi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebaliknya berpendapat jabatan itu tidak mampu melaksanakan tanggungjawab mengawal parti politik terutama ketika pilihan raya.

Selain itu, bekas Naib Presiden Bersatu itu berkata, pihaknya juga mengesyorkan SPR perlu mempunyai kuasa untuk berfungsi sebagai audit dana parti politik.

“Kita cadangkan dalam laporan ini bahawa perbelanjaan pilihan raya mesti diaudit. Ini adalah salah satu fungsi SPR kelak,” tambahnya lagi.