Malaysia Dateline

Beri takrif baru, cubaan Pas mahu halalkan rasuah

Usaha memberi takrif baru rasuah sebagaimana ditegaskan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang hakikatnya hanyalah satu langkah sumbang Pas dilihat mahu menghalalkan rasuah.

Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata, Pas tidak sepatutnya meletakkan Malaysia jauh kebelakang dengan mengeluarkan formula indeks rasuah, integriti dan indeks transperansi tersendiri di samping mengenepikan formula nasional dan internasional yang sedia ada.

Bahkan katanya, Pas yang menjadi sebahagian daripada kerajaan pada hari ini sepatutnya menjayakan plan anti rasuah yang telah diusahakan Pakatan Harapan sebelum ini.

“Bukannya terus bersikap seolah-olah hanya Pas yang tahu dan Pas yang lebih tahu dan lebih Islam.

“Jangan terus-terusan tungang Islam hanya untuk justifikasi sikap tidak konsistan Pas dalam banyak hal, sejak jadi kerajaan Pas banyak berubah,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Tegas beliau yang juga Ketua AWAN Nasional, masalah utama Malaysia dalam isu rasuah bukan tafsiran tetapi kepada penguatkuasaan dan kesungguhan kerajaan membanteras rasuah yang kini sudah menjadi budaya.

“Kehendak politik parti pemerintah dalam mengatakan yang salah itu salah walau siapa pun yang melakukannya.

“Misalnya surat sokongan, PH telah wujudkan sekatan terhadap penggunaaan surat sokongan kerana ia sebahagian daripada pembukaan pintu-pintu peluang utama ke arah rasuah,” katanya.

Dalam hal ini, katanya, Pas patut berani menegur Timbalan Menteri Belia misalnya yang terang-terangan berbangga menggunakan surat sokongan untuk kepentingan politik.

Justeru katanya, sikap Abdul Hadi Awang menimbulkan pelbagai tanda tanya bahkan dikhuatiri akan ada rasuah yang diberikan tanda halal hanya kerana ia memberi kelebihan dan kepentingan kepada Pas dan PN.

“Sikap ada dalil jika mahu halalkan atau ada dalil jika mahu haramkan sesuatu ini sebenarnya bukan benda baharu dalam Pas, bahkan semasa menjadi ahli Pas ini antara yang menjadi kritikan sebahagian kami.” ujarnya.

Tambah beliau, jika Pas dibiarkan terus menjadi sebahagian daripada kerajaan dengan sikap dan budaya mereka seperti ini, negara akan menjadi lebih rosak.

“Pas dan PN gagal dalam usaha memerangi rasuah, bahkan dalam banyak tindak-tanduk mereka, mereka jauh lebih buruk dan hodoh berbanding BN,”tegas beliau.

Terdahulu, Hadi Awang mahu takrif rasuah dikaji semula dari sudut pandangan Islam yang sebenar.

Menurut Hadi, sumbangan kepada pihak yang memerlukan dan bukan atas tujuan peribadi sama ada individu atau masyarakat umum, tidak harus dimasukkan dalam makna rasuah.

Kini, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2020 jatuh ke kedudukan 57 berbanding tangga 51 pada 2019 iaitu semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Daripada 180 negara, Malaysia mencatatkan skor 51 daripada 100 berbanding skor sebanyak 53 peratus pada tahun sebelumnya.

Berdasarkan analisis yang dilakukan, kejatuhan kedudukan CPI Malaysia bagi 2020 mungkin dipengaruhi beberapa faktor terutamanya disebabkan pembaharuan institusi kerajaan yang terhenti.