Beri tumpuan selamatkan kerajaan diterajui Umno selepas himpunan RUU 355

Beri tumpuan selamatkan kerajaan diterajui Umno selepas himpunan RUU 355

Bekas Ketua Hakim Negara ke-12, Tun Abdul Hamid Mohamad menyifatkan kerjasama Umno dan Pas pada himpunan menyokong pindaan Akta 355 di ibu negara minggu lalu perlu disusuli dengan usaha menyelamatkan kerajaan yang ditunjangi Umno.

Beliau berkata, himpunan anjuran Pas yang turut menyaksikan pimpinan Umno seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berucap itu sebagai titik permulaan kepada kerjasama Umno dan Pas.

“Ia juga baik untuk hubungan Umno-Pas. Sama ada RUU (Rang Undang-undang) itu diluluskan atau tidak, kita perlu memandang lebih jauh ke hadapan.

“Kerjasama antara Umno dan Pas untuk meluluskan RUU itu adalah titik permulaan muafakat di antara Umno dan Pas untuk mencapai sesuatu tujuan.

“Ia hendaklah diteruskan dengan perkara yang lebih besar dan perlu bagi menjaga kepentingan dan kedudukan orang Melayu/Islam.

“Pertama, tumpuan hendaklah diberi bagi menyelamatkan Kerajaan Persekutuan yang diterajui Umno dalam PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14),” tegasnya dipetik daripada artikel beliau di akhbar Berita Harian hari ini.

Mengakui Umno pada masa ini mempunyai banyak kelemahan yang perlu dibaiki, beliau menganggap parti itu sukar mendapatkan kembali kuasa jika kalah pada PRU-14.

“Sekali terlepas, kuasa pemerintahan di peringkat persekutuan, saya tidak nampak bagaimana ia akan diperoleh semula,” ujarnya yang mula menyertai perkhidmatan kehakiman dan perundangan pada 11 Jun 1969.

Sebaliknya, Abdul Hamid, 75, mendakwa kedudukan orang Melayu dan Islam tidak lagi berjaya dimajukan seperti yang telah berlangsung sekurang-kurangnya enam dekad sepanjang Umno menguasai kerajaan Persekutuan jika Putrajaya ditawan pihak pembangkang.

“Jika pemerintahan Kerajaan Pusat terlepas kepada pembangkang yang diterajui oleh DAP, jangan harap keadaan itu akan berterusan,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, beliau menganggap Umno dan Pas tidak perlu bersatu memandangkan sukar dilakukan pada masa ini tetapi kedua-dua parti itu boleh bertanding seperti biasa di peringkat negeri.

“Tetapi di peringkat persekutuan, seberapa boleh eloklah jika ada persetujuan untuk mengurangkan perlawanan tiga atau empat penjuru di mana Umno dan Pas turut bertanding,” sarannya.

Langkah tersebut, jelasnya, bagi mengelak undi Melayu dan Islam berpecah sehingga memberi ruang kepada kemenangan pihak pembangkang.

Bahkan, Abdul Hamid mengajak Pas bersama-sama BN sekiranya kedudukan parti berlambangkan dacing itu kelihatan goyang di peringkat kebangsaan.

“Pas hendaklah segera menyebelahi BN. Jika Kerajaan Persekutuan berjaya diselamatkan maka kedua-dua pihak hendaklah duduk bersama dan merangka apa yang patut dilakukan untuk mencapai maqasid syariah yang tertinggi. Itulah yang patut diutamakan,” tegasnya lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)