Malaysia Dateline

Beri yang jelas, jangan buat arahan bercelaru

Umum mengetahui bahawa dunia hari ini telah digemparkan dengan kedatangan virus yang masih belum dijumpai penawarnya iaitu coronavirus (Covid-19).

Virus ini telah menyerang pelbagai negara, China, Itali dan Iran merupakan 3 buah negara yang mencatatkan rekod kes Covid-19 tertinggi dan Malaysia juga tidak terkecuali daripada wabak ini.

Menurut Buletin TV3 yang bersiaran pukul 8 malam bersamaan 19 Mac 2020, sebanyak 900 kes positif COVID-19 seluruh negara.

Keadaan yang segenting ini, pihak Kerajaan seharusnya bertindak dengan segera dan memberi arahan yang jelas kepada rakyat bagi mengurangkan keresahan yang dihadapi oleh mereka.

Walaubagaimana pun, pihak Kerajaan dibawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin telah gagal mengeluarkan arahan yang jelas buat penduduk Malaysia. Antara golongan yang amat terkesan dengan kepincangan Kerajaan adalah golongan mahasiswa.

Pada 16 Mac yang lalu, Perdana Menteri telah mengumumkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020. Antara isi kandungan pengunguman khas tersebut, beliau telah mengarahkan penutupan semua IPT awam dan swasta.

Perdana Menteri juga telah meletakkan kepercayaan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menguruskan masalah wabak yang semakin hari semakin merisaukan. Namun begitu, pihak MKN telah gagal melaksanakan tugasan ini dengan baik. Lebih parah lagi apabila arahan yang dikeluarkan oleh pihak MKN telah menimbulkan kecelaruan buat para mahasiswa di seluruh IPT.

Pada awalnya, mahasiswa diarahkan untuk kembali ke kediaman mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tanpa menjelaskan kepada mahasiswa maksud kediaman yang cuba disampaikan oleh MKN.

Hal ini menyebabkan mahasiwa kebingungan sama ada ia membawa maksud mereka perlu pulang ke kampung halaman atau terus berada di kolej kediaman. Akibat daripada arahan yang kurang jelas ini telah menyebabkan beberapa buah universiti seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Malaya (UM) membenarkan pelajar-pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing.

Berbeza dengan pihak Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) yang telah menyediakan bas percuma untuk menghantar mahasiswa mereka pulang ke negeri masing-masing, kebanyakan mahasiswa dari universiti lain terpaksa menggunakan perkhidmatan awam seperti bas.

Hasilnya, mereka bersesak-sesak di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk mendapatkan tiket pulang. Kejadian yang tidak menyenangkan ini telah membimbangkan ramai pihak, antaranya bekas timbalan Menteri Kesihatan.

Menurut Dr. Lee Boon Chye, mahasiswa masih berisiko untuk terkena wabak virus Covid-19 jika mereka terus tinggal di kediaman kolej, namun ia lebih mudah dikesan dan boleh diurus segera.

Dalam keadaan yang huru-hara ini, Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad dilihat tidak cukup cekap dalam menguruskan hal-hal berkaitan pengajian tinggi. Tambahan pula, respon dan tindakan beliau yang lewat setelah beberapa jam Perdana Menteri membuat pengunguman Perintah Kawalan Pergerakan, malah memberi alasan bahawa pihak Kementerian perlu mendapatkan kebenaran dari MKN sebelum mengeluarkan kenyataan.

Seharusnya sejurus selepas Tan Sri Muhyiddin Yasin membuat pengunguman tersebut, pihak Kementerian Pengajian Tinggi mengeluarkan kenyataan rasmi agar mahasiswa terus berada di kampus masing-masing dan meminta pihak IPT bertanggungjawab dalam menguruskan hal-hal kebajikan pelajar-pelajar mereka sepanjang tempoh kawalan dijalankan.
Pihak pentadbiran Universiti juga seolah olah tidak punyai panduan secukupnya dalam menangani masalah ini.

Keadaan bertambah keruh apabila Ketua Polis Negara membuat kenyataan agar semua rakyat yang berhasrat untuk merentasi sempadan negeri perlu mengisi borang dan mendapatkan kebenaran daripada pihak polis di balai polis.

Hal ini telah menambahkan lagi keresahan mahasiswa dan menyebabkan berlakunya lagi satu perhimpunan di beberapa balai polis yang boleh mengakibatkan wabak Covid-19 menular dengan lebih mudah.

Sekitar jam 11 malam setelah kenyataan tersebut dikeluarkan, Ketua Polis Negara sekali lagi membuat pengunguman bahawa kenyataan tersebut ditarik semula. Ini menambahkan lagi kekeliruan mahasiswa yang sudah berada di balai polis. Celaru dibuatnya.

Wan Ahmad Fayhsal selaku Timbalan Menteri Belia dan Sukan juga culas dalam menempati masalah yang melanda mahasiswa. Berbeza dengan bekas Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq yang dilihat lebih proaktif dalam membantu mahasiswa dan pihak IPT bagi menangani krisis ini melalui twitternya. Kadang-kadang anda perlu belajar dari orang lain.

Meskipun pihak MKN, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Belia dan Sukan sudah memberikan kenyataan dan solusi masing-masing, ianya sudah terlambat kerana sudah ramai mahasiswa yang pulang ke negeri masing-masing. Kejadian ini boleh diibaratkan seperti nasi sudah menjadi bubur.

Perintah Kawalan Pergerakan yang sepatutnya dapat menenangkan rakyat bertukar menjadi bencana apabila pihak berkuasa gagal menyampaikan arahan dengan jelas dan nyata.

MARILAH KITA IMBAS KEMBALI DAN MENYESALI

Kita harus kembali. Kembali memikirkan jalan terbaik dalam mendepani situasi yang penuh gencar dan mencabar ini. Kritik bukanlah medan tumbuhnya pergaduhan tetapi kalian sewajarnya lebih bersedia 200% mengenai sebarang kemungkinan.

Ketepikan agenda politik yang menguntungkan orang-orang tertentu. Pelan tindakan yang lebih efektif harus dirangka dalam menangani bencana ini haruslah digiatkan usahanya untuk memastikan setiap arahan efisyen serta langkah yang diambil memudahkan rakyat.

Bukan secara semberono sahaja. Sudah keluarkan kenyataan, kemudian tarik semula. Mahasiswa pula diarahkan pulang, kemudian keluar perintah membuat sekatan diantara negeri. Bagaimana buat mereka yang mahu pulang ke utara tanah air? Bagaimana buat mereka yang belajar di Kedah mahu pulang ke Johor Bahru? Fikirlah.

Tulisan ini bukanlah untuk mengherdik jauh lagi untuk mengutuk mereka yang sedang bertungkus lumus menyediakan perkhidmatan yang terbaik buat rakyat jelata. Tulisan ini adalah sebuah manifestasi luahan dan kritikan agar kita mempunyai satu “Standard Operating Procedure” yang jelas bermula di pihak Kementerian hinggalah kepada rakyat.

Tak lupa, soal penularan wabak ini memerlukan kerjasama yang tuntas antara semua pemegang taruh di semua peringkat. Seperti kementerian, pegawai kerajaan, ketua kampung dan sebagainya.
Perintah Kawalan Pergerakan harus dipatuhi. Kekal menginap di rumah dan jangan keluar sekiranya tiada keperluan.

Begitulah pesan YAB Perana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merayu-rayu meminta rakyat agar patuhi arahan ini melalui siaran langsung beliau semalam.

Tulisan ini mengajak untuk kalian berfikir. Bukanlah untuk memburuk-burukkan suatu pihak sahaja. Mengkritik adalah kerja rakyat. Kritikan ini seharusnya menjadi titik tolak buat pihak kerajaan agar lebih berwaspada dan meningkat prestasi mereka dalam mengendalikan isu-isu rakyat secara signifikan dan realistik.

————————

Ajda Nuha merupakan aktivis Persatuan Belia HARMONI Malaysia

Luthfi Yusri merupakan Penyelidik di Strategic Research And Development Team of HARMONI, Persatuan Belia HARMONI Universiti Malaya