Seorang wanita merasa terkilan dengan sikap ibunya yang pilih kasih terhadap sang kakak hanya kerana mereka memiliki perbezaan dalam taraf hidup dan pendapatan.
Meskipun mengakui dirinya tidak berjaya seperti sang kakak, wanita dikenali sebagai Citra Lestari itu tetap berusaha membantu ibunya dari segi kewangan dan tenaga.
Terpaksa menyambut perayaan Aidilfitri dengan hati tercarik luka, inilah perkongsian Citra yang merasa dirinya langsung tidak dihargai hanya kerana tidak memiliki harta.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca sekalian. Nama aku, Citra. Sudah berkahwin. Aku ada lapan orang adik-beradik. Enam lelaki bersama dua perempuan iaitu aku dan Kakak. Baru-baru ini, aku balik beraya ke kampung awal berbanding adik beradik lain.
“Hari Sabtu lagi aku sudah sampai di kampung sebab fikirkan mak tiada orang yang membantu. Mesti dia harapkan aku balik. Tepat sangkaanku. Seperti biasa, sampai sahaja di rumah aku terus bersalaman sebelum sinsing lengan baju untuk membantu ketuk telur untuk buat bahulu. Abang sulung dan keluarganya sampai awal.
“Tetapi biasalah, kalut dengan anak kecil. Jadi mereka memang tak sempatlah bantu mak. Aku tak kisah. Petang itu, mak cakap yang kakak mahukan nasi ayam apabila dia balik kampung nanti. Tetapi lambat lagilah sebab dia balik sehari sebelum raya. Diam tak diam, tinggal baki dua hari berpuasa.
“Masa ini, masih ada adik beradik aku yang belum balik. Mak tanya aku nak makan apa. Aku cakaplah nak makan mi rebus. Sebab mi rebus yang mak masak memang terbaik. Selepas itu aku sambung buat kuih raya. Jadi petang itu, tiba-tiba mak kata tak jadi nak buat mi rebus. Mak nak buat bihun sup. Aku ikutkan sahaja.
“Keesokan harinya, kakak aku sampai. Jadi tengah hari itu aku keluarlah beli barang untuk raya. Balik itu, mak tanya ada beli mi tak? Aku jawab tak beli sebab tak pesan. Tiba-tiba mak aku keluar pergi beli mi. Ingatkan, mak teringat nak masak sebab aku minta semalam. Rupanya masa berbuka baru tahu kisah sebenar.
“Rupanya, mak kelam kabut pergi kedai sebab kakak cakap dia nak makan mi rebus. Masa berbuka itu, perit sahaja rasa nak telan mi walaupun rasanya memang sedap. Sebenarnya memang dalam keluarga, kakak aku ini berjaya orangnya. Alhamdulillah dia dan suami ada empayar perniagaan yang besar.
“Cuma aku rasa macam dibeza-bezakan. Aku cuba bahagiakan mak dengan bantu meringankan bebannya. Aku berikan mak duit sebelum hari raya sebab kasihan nanti dia seorang sahaja yang keluarkan duit, beli macam-macam. Aku keluarkan duit lagi untuk belikan mana yang tak cukup. Contohnya kerepek, kuih raya dan lain-lain.
“Tetapi bayang-bayang aku ini seakan selalu dilupakan. Aku kahwin dengan mualaf. Jadi setiap kali raya memang muka aku dan suami ni sentiasa ada di rumah. Aku dan suamilah yang layan tetamu dan hidang air, kuih raya semua. Abang dan kakak aku semua, entah ke mana. Bukan maksud aku mereka langsung tak buat apa.
“Tetapi mereka bebas nak kemana-mana sahaja. Apabila tiba giliran aku nak keluar, mak mulalah buat ayat sedih. Sudahnya aku dengan suami tercongok sahajalah di rumah. Sampai suami cakap, baik tak payah balik kampung kalau asyik duduk dapur sahaja. Iyalah, aku dan suami bukanlah seperti orang yang ‘berjaya’.
“Rumah sewa kecil sahaja, gaji pun cukup-cukup makan tambah kos sekolah anak. Kereta kemek akibat kemalangan pun belum mampu nak cat semula. Jadi tahun ini. memang aku tiada semangat nak menjemput orang beraya ke rumah. Risau, andai orang tak selesa bertandang ke rumah yang kecil ini. Tandas pun cangkung sahaja.
“Baru-baru ini, kakak ipar datang ke rumah aku dengan adik beradiknya. Bukan main gembira suami aku apabila ada orang nak beraya. Laju sahaja bawa aku cari karpet untuk melapik tikar getah. Siap beli biskut raya untuk tambah yang sedia ada. Jadi, aku sedikit sentap tetamu kata sudah kenyang apabila dijemput makan.
“Mereka jamah pun memang sedikit sahaja. Selepas raya rumah aku, diajaknya kami beraya rumah kakak. Kediaman itu memang besar, kereta juga berderet. Buka pintu sahaja nampak kolam renang, lampu candelier, sofa besar dan dapur kering serta basah. Jadi kami pun masuk sebelum dijemput makan.
“Bayangkan, tetamu yang cakap sudah kenyang itu laju sahaja duduk di meja untuk mengaut nasi. Mungkin lapar balik, tetapi baru 15 minit yang lalu mereka berada di rumahku. Masa nak balik, kakak ipar dan adik beradiknya pun cakap nak mengambil gambar sebelum balik. Dekat rumah kecil aku, tiada pula orang nak bergambar.
“Waktu itu, aku terus minta diri dekat kakak. Cakap nak balik sebab ada hal. Biarlah mereka ambil gambar berlatar belakangkan rumah yang besar. Aku diam sahaja. Tak bercerita dengan suami, biarlah aku sedih seorang diri. Sebab itulah aku rasa berat sangat nak terima tetamu. Hati aku ini sangat rapuh.
“Biarlah aku dengan keluarga kecil ini mencipta kebahagiaan sendiri di rumah yang menyaksikan susah senang kami sekeluarga. Sebab rasa macam seolah-olah orang sedang menghakimi aku. Kalau nak makan apa-apa, boleh sahaja aku masak sendiri atau beli. Tak perlu minta kepada sesiapa yang tak sedar kewujudan kami.” Katanya.
Baca juga: “Aku minta suami carikan tukang urut je lepas bersalin sebab aku tahu dia tak mampu tapi akhirnya…”