Beria beli tapi guna sekali dua saja, nombor 10 tu harap tak perlu guna

Oleh ARIF ATAN

Banyak benda terutama peralatan di rumah yang apabila difikirkan semula beria saja beli tetapi gunanya hanya sekali dua.

Dalam keadaan ekonomi tidak menentu dengan jangkaan keadaan lebih parah pada tahun 2023, ada baiknya perbelanjaan yang tidak perlu dielak sama sekali.

Membazir berlaku apabila barang atau peralatan di rumah hanya tersimpan dalam kotak atau almari bahkan mungkin terbiar dalam stor begitu sahaja.

Berikut antara 10 benda tersebut yang mungkin boleh masuk dalam senarai tidak harus beli jika anda belum memilikinya tetapi berkira-kira untuk membeli:

1. Pengisar jus buah
Ramai yang pakai sekali dua sahaja. Akhirnya, guna blender biasa. Mungkin leceh guna pengisar jus buah sebab macam-macam nak kena pasang kemudian buka untuk basuh.

2. Oat
Makan sedikit saja kemudian tak lalu. Walaupun dicanang sebagai makanan sihat tetapi perut kita yang sudah biasa dengan nasi dirasakan sukar kenyang dengan oat. Tekak pun tak lalu terima.

3. Mesin pembuat ais ketul
Mungkin ada yang ‘terbeli’ kerana pengaruh di TikTok. Walaupun boleh hasilkan ais dalam beberapa minit sahaja tetapi sebenarnya bukan keperluan sangat pun. Ruang beku dalam peti ais, tu ‘kan dah ada?

4. Air fryer
Alat penggoreng tanpa minyak atau pemanggang ini diuar-uarkan dapat menyediakan hidangan yang lebih sihat. Tapi lidah dah biasa yang bergoreng minyak. Malah, tak sihat pun kalau masak sosej atau nuget.

5. Slow cooker
Periuk memasak ini memang memasak secara perlahan. Masalahnya, orang kita sekarang serba-serbi mahu cepat dihambat masa. Akibatnya, beli saja dan masih untunglah jika pernah juga pakai.

6. Oven
Angan besar konon mahu buat pizza atau kek untuk anak-anak tapi tak mahu pula dapur jadi ‘kapal karam’. Sudahnya, beli pizza di restoran makanan segera atau pergi kedai kek.

7. Alat pembuat roti
Rasanya, nasib bread maker ini paling tragis. Bukan semua ‘berbakat’ dan sabar. Ada yang beria beli dengan impian besar mahu buat roti yang gebu gebas tetapi dalam kotak saja macam ketika sampai ke rumah dulu!

8. Set BBQ grill
Peralatan yang mungkin turut ‘tersorok’ dalam kotak di rumah anda. Bukan sedikit yang ‘malas’ untuk guna walaupun ada yang non-stick. Jadi, ‘lebih mudah’ disimpan saja.

9. Mesin basuh mini
Beria beli lengkap dengan ciri pengering. Namun, ada yang pakai sekali, dua terus simpan sebab dah biasa cuci dalam kuantiti banyak dengan mesin basuh biasa.

10. Insurans kesihatan
Tidak pernah membazir tetapi ramai berharap tidak perlu guna. Penyakit atau malang tidak berbau. Adanya insurans kesihatan, anda tidak perlu fikir kos perubatan yang mungkin boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

Baca juga ‘Jangan tanya gaji berapa, tanya risiko dia’ – Ibu muda ini pernah nyaris disambar kilat

Baca juga Panik anak hilang padahal ibu sibuk berborak di rumah jiran, orang yang selamatkan pula dituduh menculik