Malaysia Dateline

Berikan 150,000 komputer riba kepada mahasiswa

Kerajaan digesa untuk mengubahsuai program pemberian komputer riba inisiatif CERDIK untuk diedarkan kepada mahasiswa dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terutama mereka yang dari golongan keluarga berpendapatan rendah (B40).

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana program berkenaan yang pada awalnya dirangka untuk pelajar sekolah, tidak sempat dimanfaatkan oleh mereka kerana para pelajar sudah pun memulakan sesi persekolahan mereka secara bersemuka.

“Ramai dalam kalangan mahasiswa tidak boleh hadir ke kampus kerana kekurangan tempat tinggal dan terpaksa mengikuti kuliah secara dalam talian.

“Setidak-tidaknya, ada kumpulan pelajar yang boleh memanfaatkan komputer-komputer riba ini sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Fahmi mengkritik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang sehingga hari ini masih tiada pengumuman dari Menteri Kewangan mahupun Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkenaan status terkini program Inisiatif Cerdik yang dikelolakan Yayasan Hasanah.

Katanya, KPM sama sekali tidak menyatakan spesifikasi dan jumlah komputer riba yang telah berjaya diperolehi, jumlah yang telah berjaya diagih, serta senarai sekolah yang telah menerima komputer-komputer riba tersebut.

“Paling malang sekali, kita tidak tahu sama ada kumpulan sasaran program ini iaitu pelajar sekolah rendah dan menengah dari keluarga B40 telah dapat memanfaatkan komputer riba ini atau tidak untuk kegunaan program Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

“Kegagalan Menteri Kewangan dan Menteri Kanan Pendidikan untuk memberi kemas kini status program ini amat menyedihkan dan sangat dikesali.

“Namun tidak memeranjatkan bagi sebuah pentadbiran yang sering melakukan u-turn disamping terumbang-ambing akibat isu kestabilan politik dalaman,” katanya lagi.