Malaysia Dateline

Berikan Cikgu Azizan, keluarga murid tempoh bertenang

Kementerian Pendidikan menggesa masyarakat memberi ruang untuk bertenang kepada kedua-dua belah pihak yang terlibat dengan kes membabitkan seorang murid 11 tahun yang ditampar guru Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, dekat sini April lalu.

Timbalan Menterinya Datuk Chong Sin Woon berkata beliau telah berjumpa dengan ibu bapa murid terlibat pagi tadi dan berharap agar mana-mana pihak tidak memberi sebarang komen kerana keluarga tersebut sedang trauma serta tertekan.

Beliau berkata perasaan itu turut dirasai oleh semua pihak termasuk sekolah, keluarga dan juga guru yang terlibat, Azizan Manap atau Cikgu Azizan.

“Seperti komen Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, kita jangan mencari siapa yang salah tetapi mencari jalan penyelesaian untuk mendamaikan kedua-dua belah pihak.

“Saya telah berbincang dengan kedua-dua ibu bapa murid berkenaan dan mereka perlukan satu jangka masa untuk bertenang kerana keluarga tersebut bimbang dengan komen dalam media sosial, sehingga ada ugutan hendak membunuh mereka,” katanya dalam sidang media Shoes Donation Campaign, di sini hari ini.

Chong berkata keluarga tersebut berasa terancam dan mereka berharap supaya dapat kembali menjalani kehidupan yang normal, termasuk juga Cikgu Azizan.

“Kita akan berusaha menyelesaikan isu ini sebelum musim persekolahan tahun hadapan bermula. Ini merupakan isu yang telah diheret ke jalan salah dan kita perlu kembali untuk menyelesaikannya melalui perbincangan dan kemuafakatan,” katanya.

Selasa lalu, Mahkamah Majistret Seremban melepaskan tanpa membebaskan Azizan Manap, 44, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan bersabit pertuduhan mencederakan muridnya pada April lalu.

Keputusan dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya Hazeelia Muhammad memberitahu pihaknya menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik semula pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu.