Malaysia Dateline

Berikan pendidikan lebih baik kepada anak nelayan, kata Pengerusi LKIM

Kerajaan bukan sahaja harus memastikan semua anak-anak nelayan mendapat pendidikan yang sempurna, sebaliknya perlu juga memberi peluang kepada mereka mendapat pendidikan yang lebih baik.

Ini termasuklah menempatkan mereka yang cemerlang dalam ujian UPSR di sekolah berasrama penuh atau yang berprestasi tinggi.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil dalam kenyataan beliau.

Menurutnya lagi, pendidikan merupakan instrumen paling ampuh bagi meningkatkan sosio-ekonomi kehidupan nelayan.

“Hampir 10 peratus nelayan tidak mempunyai pendidikan yang sempurna dan kedudukan ini harus dibaiki.

“Kesenjangan ekonomi antara nelayan dan segmen lain perlu dikurangkan.

“Justeru itu Kementerian Pendidikan boleh memberikan satu kuota khas kepada anak-anak nelayan bagi meneruskan pendidikan mereka, ” ujarnya lagi.

Malah tegas Faiz lagi, dengan membuka peluang yang lebih kepada anak-anak nelayan, ia mampu untuk mengubah sosio-ekonomi nelayan pada masa hadapan.

Sehubungan itu tambah beliau, peluang pendidikan yang lebih baik akan mendedahkan mereka kepada ilmu teknologi perikanan yang baharu dan canggih.

Selain itu katanya,ia juga dapat meningkatkan mutu industri perikanan.