Malaysia Dateline

KEMASKINI: Hina Agong, Iswardy Morni ditahan polis

Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni ditahan polis selepas membuat kenyataan yang dianggap menghina Yang Dipertuan Agong melalui Facebook Live Jumaat lepas.

Dalam kenyataan ringkas di Facebooknya malam tadi Iswardy menulis “Malam ini, Jeriji besi, Jgn takut.”

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar berkata, Iswardy diberkas di rumahnya di Kajang kira-kira jam 11 malam tadi (Sabtu).

“Dia ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman. Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Sekyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya kepada media pagi ini (Ahad).
Selepas didakwa diburu oleh polis berikutan laporan polis yang dibuat ke atas beliau, Iswardy menerusi videonya berkata, beliau bukan menghina Yang Dipertuan Agong.
“Saya tidak menghina Yang Dipertuan Agong. Saya merayu. Kalau bukan kepada Yang Dipertuan Agong, siapa lagi yang kita harap.

 

“Kerajaan ini kerajaan yang gagal. Frontliners tidak lagi boleh buat kerja kerana sudah terlampau penat sekarang.

“Ia disebabkan kegagalan kerajaan sekarang menangani isu Covid,” kata Iswardy dalam video itu selepas laporan media beliau kini diburu polis.

APA YANG KERAJAAN GAGAL BELAJAR

Iswardy pada Jumaat memuat naik video secara ‘live’ berhubung Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun ini di Youtube rasmi miliknya.

Dalam video itu, Iswardy turut mengeluarkan kenyataan mendakwa Yang di-Pertuan Agong seakan-akan tidak bertindak terhadap peningkatan kes Covid-19.

Sebelum itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan sedang mengesan Iswardy berikutan klip video yang berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar berkata, pihaknya kini membuka tiga kertas siasatan susulan meneriman laporan berhubung video tersebut.

PROVOKASI BERSATU

Semalam, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan membuat provokasi dengan mencabar Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil tindakan tegas dan memecat Iswardy ekoran kenyataan di Facebook itu.

Wan Saiful berkata, sekiranya PKR tidak berbuat apa-apa, ia bermaksud parti itu merestui ahli mereka menghina Yang di-Pertuan Agong.

“Jika PKR diam, itu maksudnya PKR redha Institusi Raja-Raja Melayu dipermainkan. Jika PKR tidak memecat Iswardy Morni, itu tandanya PKR melalui ahli-ahli seperti Iswardy sengaja membiarkan sentimen negatif tersebar terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Adakah PKR mahu jadi rumah untuk mereka yang tiada rasa hormat terhadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.