Berilah kepercayaan kepada Turki

Berilah kepercayaan kepada Turki

Pihak yang mahu melihat Turki menjadi sebuah negara sejahtera perlulah memberi masa kepada kerajaan negara itu dan menunggu hasil daripada langkah-langkah yang sedang dilaksanakannya, kata Duta Besar Turki di Malaysia Basak Turkoglu.

“Mereka perlu mempunyai keyakinan terhadap Turki. Sikap berat sebelah atau pendekatan pertimbangan tidak akan membawa kebaikan kepada mana-mana negara,” katanya pada taklimat media di Kedutaan Turki di sini, hari ini.

Beliau berkata perintah darurat selama tiga bulan yang diisytiharkan pada 21 Julai lepas bertujuan membolehkan kerajaan mempercepat penyiasatan dan melaksanakan proses perundangan terhadap mereka yang mendalangi cubaan rampasan kuasa yang gagal di negara itu.

Menurutnya pengisytiharan perintah darurat di seluruh negara adalah sejajar dengan perlembagan Turki dan mematuhi sepenuhnya Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia serta tidak menjejaskan urusan harian rakyat tempatan atau asing.

Turkoglu juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia kerana berdiri teguh di belakang kerajaan Turki serta rakyatnya ketika cubaan rampasan kuasa itu.

Menurut kerajaan Turki, cubaan rampasan kuasa pada 15 Julai itu dilakukan sekelompok anggota Angkatan Bersenjata Turki yang setia kepada Pertubuhan Pengganas Fethullah Gulen (FETO) tetapi ia dapat dipatahkan pada hari berikutnya.

Turki juga menafikan sebarang dakwaan kononnya mereka yang ditahan kerana terlibat dengan cubaan rampasan kuasa itu telah didera atau diberi layanan buruk, kata Turkoglu.

Duta itu berkata Kementerian Kehakiman secara rasminya menyatakan bahawa ia mengalu-alukan kedatangan pemerhati ke Turki bagi mengetahui keadaan yang sebenar.

“Mereka yang mempunyai bukti kukuh bolehlah mendapatkan prosedur undang-undang. Bagaimanapun, sebarang tuduhan perlulah diteliti terlebih dahulu tetapi setakat ini, ia tidak lebih daripada kenyataan media semata-mata,” katanya.

Amnesty International mendakwa ia mempunyai bukti kukuh bahawa mereka yang ditahan menjadi mangsa penderaan dan seksaan termasuk dirogol di pusat tahanan rasmi dan tidak rasmi di Turki.

Pertubuhan itu juga menyeru pemantau bebas supaya segera diberi peluang bertemu dengan tahanan susulan cubaan rampasan kuasa itu.

Turkoglu juga menyentuh tentang penyebaran fitnah oleh beberapa pertubuhan media bagi memburuk-burukkan usaha yang dilakukan kerajaan Turki dan badan kehakiman negara itu.

“Melalui pengaruhnya dalam pertubuhan media tertentu, FETO menyebarkan tafsiran tidak tepat tentang perjuangan Turki untuk memulihkan undang-undang dan ketenteraman awam serta melaksanakan keadilan secara berkesan sebagai langkah kerajaan untuk mengenakan tekanan politik atau menindas musuh politiknya,” kata beliau.

Duta besar itu berkata cubaan FETO untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik dan berlandaskan perlembagaan, merupakan tindakan ganas dan tidak mendapat sokongan rakyat.

“Cubaan rampasan kuasa itu gagal kerana seluruh rakyat mempamerkan perpaduan yang cukup bersejarah dalam menolak pemberontakan. Mereka terus memelihara demokrasi dengan turun ke jalan raya dan dataran di semua bandar raya setiap malam sejak kejadian itu,” katanya.

Dalam cubaan rampasan kuasa itu, lebih 260 orang termasuk anggota tentera dan orang awam dilaporkan terbunuh manakala 8,133 orang ditangkap.

cubaan FETO untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik dan berlandaskan perlembagaan, merupakan tindakan ganas dan tidak mendapat sokongan rakyat.

TAGS