Malaysia Dateline

Berilah kerajaan PH peluang untuk buktikan, kata Mazlan Aliman

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus diberi peluang dan masa untuk membuktikan ia lebih baik berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini di samping menunaikan janji-janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas.

Anggota Jawatankuasa pimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mazlan Aliman berkata legasi terutama hutang yang banyak ditinggalkan oleh kerajaan BN menyukarkan kerajaan PH menunaikan janji-janji PRU14.

“Inilah cabaran kita. Jadi, saya harap kita diberi peluang dan masa untuk merancang dengan lebih sempurna,” katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen AMANAH Perlis yang ketiga di sini, hari ini.

Beliau, yang juga pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berkata, masalah yang menghimpit kehidupan petani dan peladang masih diteliti untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

Mazlan berkata dalam lawatan kerjanya ke Perlis hari ini dan Kedah esok, beliau akan mengumpul maklumat yang dapat membantu golongan itu.

— BERNAMA