Berita baik buat ‘founder’ wanita Asia, Google tawar wang sebanyak RM500,000!

Oleh WAN SITI AMINAH

Syarikat baharu yang diasaskan oleh usahawan wanita kini berpeluang untuk mendapatkan wang sebanyak RM500,000 daripada Google.

Hanya tertakluk buat wanita di rantau Asia-Pasifik, dana tersebut dijangka bakal membantu syarikat baharu untuk mengukuhkan perniagaan.

Modal ekuiti percuma bernilai AS$100,000 (sekitar RM500,000) itu ditawarkan menerusi program Google for Startups Women Founders Fund.

Difahamkan, dana percuma berkenaan bakal diserahkan kepada enam buah syarikat baharu yang diasaskan pada tahun ini, lapor Forbes.

Dana tersebut bagaimanapun bakal diberikan kepada syarikat yang menjalankan perniagaan dalam bidang kecerdasan buatan atau AI.

Pemberian modal tersebut bakal mula diberi kepada syarikat yang bertapak di India, Jepun dan Korea Selatan terlebih dahulu.

Hal ini kerana, penduduk wanita daripada ketiga negara berkenaan telah berjaya mengembangkan perniagaan AI melalui program Google sebelum ini.

Antara program tersebut ialah Google for Startup Campus di Jepun dan Korea, dan Startup School di India.

Walau bagaimanapun, program berkenaan dipercayai akan turut diperkembangkan ke pasaran Asia Pasifik lain tidak lama lagi.

Baca juga: Nikahi lelaki bawah umur, wanita kecewa malam pertama ditundakan selama 3 tahun