Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan struktur gaji baharu khusus untuk penjawat awam pada perhimpunan Hari Pekerja, awal bulan depan.
Dalam perhimpunan tersebut, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu akan berkongsi cadangan penambahbaikan termasuklah usaha kerajaan untuk meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam.
Anwar juga berharap, usaha kerajaan dalam meningkatkan kadar pendapatan dapat dijadikan motivasi oleh penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Perkara ini dimaklumkannya menerusi laman Facebook selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 3 Tahun 2024, semalam.
“Alhamdulillah, mesyuarat hari ini hampir memuktamadkan penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam yang seterusnya akan diputuskan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Insya-Allah, cadangan penambahbaikan termasuklah usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam akan saya umumkan pada perhimpunan Hari Pekerja nanti.
“Semoga usaha ini menjadi motivasi buat penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya.
Jelas Anwar, penambahbaikan struktur gaji yang dilaksana kerajaan menerusi Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) ini selari dengan perkembangan ekonomi dan tekanan kos sara hidup bagi mereka yang berpendapatan rendah.
“Saya ingin menegaskan komitmen Kerajaan untuk menyelesaikan usaha menambah baik struktur gaji penjawat awam yang dilaksanakan menerusi Kajian SSPA, disebalik ekonomi negara yang mencabar kesan ketidaktentuan geopolitik dunia.
“Kerajaan mengambil pendirian dan tanggungjawab ini mengambil kira tekanan kos sara hidup bagi penjawat awam terutamanya yang berpendapatan rendah.” Kata Ahli Parlimen Tambun itu.