Malaysia Dateline

Berita jangkitan novel koronavirus di Kota Tinggi tidak benar, kata Adun

Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Lama Rosleli Jahari kesal dengan tindakan seorang individu yang menyebarkan berita tidak sahih mengenai jangkitan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di daerah itu dengan mengaitkan namanya sebagai sumber.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai satu rakaman audio yang mendakwa kononnya sebilangan doktor di Kota Tinggi dipindahkan ke Permas Jaya kerana ada jangkitan koronavirus di daerah berkenaan.

Rakaman audio selama 45 saat itu menjadi viral di aplikasi whatsapp dan media sosial sejak petang semalam.

“Isu rakaman suara mengenai jangkitan itu menjadi tular yang sangat hebat sejak petang semalam, yang mendakwa saya yang memberi kenyataan. Sejak petang semalam, telefon saya tidak berhenti-henti berdering untuk bertanyakan sama ada betul kenyataan itu keluar daripada saya,” kata beliau ketika ditemui di sini, hari ini.

Sehubungan itu beliau menasihatkan masyarakat setempat supaya tidak mudah percaya dengan berita-berita palsu yang viral, sebaliknya mereka perlu merujuk terus kepada agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Penerangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan lain-lain.

“Saya anggap tindakan individu berkenaan menunjukkan keterujaannya untuk menjadi orang pertama atau ‘hero’ untuk sampaikan maklumat, sedangkan maklumat yang sebenar daripada saya bukan begitu,” jelas beliau.

Meskipun begitu, wakil rakyat berkenaan tidak akan membuat laporan polis memandangkan individu terbabit telah meminta maaf kepadanya secara peribadi dan berjanji tidak lagi akan menyebarkan berita tidak sahih.– BERNAMA