Berita jual aset QSR Brands hanya spekulasi, kata MB Johor

Berita jual aset QSR Brands hanya spekulasi, kata MB Johor

Johor Corporation (JCorp) telah meningkatkan pegangannya dalam QSR Brands (M) Holdings Bhd, yang mengoperasikan rantaian restoran KFC dan Pizza Hut di Asia Tenggara, kepada 56 peratus ketika ini berbanding hanya 27 peratus pada 2012.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata langkah itu sekali gus menjadikan pelaburan JCorp dalam QSR kini bernilai RM3.33 bilion.

Dr Sahruddin, yang juga Pengerusi JCorp berkata baki 44 peratus lagi pegangan dalam QSR dimiliki CVC Capital Partners (CVC) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sentiasa akan menilai tahap pelaburan termasuk kemungkinan menjual pegangan mereka.

“Mungkin dari situlah keluar ura-ura ini (JCorp akan menjual pelaburan dalam QSR). Saya tegaskan bahawa ia adalah berita berasaskan spekulasi,” katanya semasa menggulung perbahasan Belanjawan Johor 2020 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor di Kota Iskandar, pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hahasrin Hashim (BN-Panti) mengenai isu penjualan restoran KFC dan Pizza Hut dalam QSR.

Ini berikutan, sebuah media asing pada minggu lepas melaporkan pemilik QSR Brands sedang menimbang untuk menjual dua rangkaian restoran makanan segera miliknya iaitu KFC dan Pizza Hut pada kira-kira S$1.96 bilion (RM6 bilion).

Mengulas lanjut, Dr Sahruddin berkata JCorp mempunyai strategi untuk mengembangkan lagi perniagaan QSR pada masa depan yang tidak semestinya dibuat dalam bentuk restoran sahaja.

Strategi itu termasuk hasrat memacu industri halal menerusi usaha memperkukuhkan lagi kedudukan peringkat pertengahan dan huluan industri ternakan ayam.

“Ini membolehkan QSR Brands membekalkan daging ayam halal dan segar serta produk sejuk beku di Malaysia dan pasaran dunia. Ia merupakan satu potensi strategik dan lebih besar dari segi ekonomi, pekerjaan mahupun keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan sentiasa membantu JCorp untuk meningkatkan lagi prestasi perniagaannya agar dapat terus berperanan secara maksimum untuk negeri dan rakyat Johor.– BERNAMA