Malaysia Dateline

Berita palsu harus dibendung kerana datangkan masalah kepada rakyat

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Linggi semalam berkata, penyebaran berita palsu adalah sangat tidak sihat.

“Jika dibiarkan terus berlaku, bukan setakat menyebarkan berita yang tidak benar, tetapi ia membawa kepada perbuatan menghasut,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengalu-alukan cadangan menggubal undang-undang membanteras berita palsu yang boleh mendatangkan masalah besar kepada masyarakat dan negara sekiranya dibiarkan.

Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Borhan Dolah yang turut menyokong cadangan berkenaanu berkata penyebaran berita palsu harus dibendung kerana ia boleh mendatangkan masalah kepada rakyat dan haruslah ada langkah bagi memastikan perkara itu tidak berlarutan.

“(Contohnya) bila ada suatu berita palsu berkaitan bencana di sesuatu kawasan, ia akan menimbulkan keresahan terhadap keluarga mereka yang tinggal di kawasan itu,” katanya.

Beliau diminta mengulas cadangan untuk mengadakan akta berita palsu bagi menangani masalah yang timbul akibat penyebaran berita sedemikian.

Katanya, segelintir pihak suka menyebarkan berita seumpama itu untuk keseronokan tanpa menyedari kesan negatif jangka masa panjang.