Berita palsu: Khalid tuntut RM1 juta dari FMT
Khalid hantar surat tuntutan kepada FMT ekoran berita ini yang cuba melagakan beliau dengan Tun Dr Mahathir dengan berita tidak betul.

Berita palsu: Khalid tuntut RM1 juta dari FMT

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menuntut laman berita FMT membayar beliau ganti rugi sebanyak RM1 juta ekoran laporannya yang mendakwa beliau memaksa Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

Peguam Khalid menghantar surat tuntutan ini kepada FMT hari ini.

Dalam surat tuntutan empat muka surat yang dihantar oleh S.N. Nair & Partners kepada FMT itu, Khalid menuntut RM1 juta itu sebagai pampasan ekoran kerosakan reputasi yang disebabkan oleh laporan laman berita itu.

Surat itu telah dihantar secara tangan, email dan juga fax kepada pejabat FMT hari ini.

Sebelum ini, ketika bercakap secara langsung melalui tv internet Jom Channel, Khalid berkata, beliau akan menyaman laman itu.

Ini kerana, laporan laman itu telah mendakwa Khalid mendesak Tun Dr Mahathir melepaskan jawatan padahal apa yang ditulis oleh Khalid melalui twitternya tidak begitu.

“Saya menulis, ‘Tun letak jawatan. Dijadikan PM interim…’. Tetapi FMT dalam berita Bahasa Inggerisnya menulis ‘Tun must resign. Be the interim prime minister…’ (Tun mesti letak jawatan, jadi PM interim).

“Bila yang saya paksa Tun letak jawatannya. Dia dah letak jawatan pada ketika itu dan kemudian dilantik sebagai PM interim,” kata Khalid dalam siaran secara langsung TV internet itu.