‘Beritahu orang Pekan, 25 sen dari rakyat Selangor’

‘Beritahu orang Pekan, 25 sen dari rakyat Selangor’

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan negeri itu menjadi penyumbang terbesar pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Selangor sumbang 25 peratus kepada negara. Setiap RM1 dalam poket, ingat 25 sen datang dari rakyat Selangor.

“Pergi Pekan tanya orang Pekan tengok berapa poket dia. Ada seringgit, 25 sen dari Selangor. Pergi Bagan Datuk, beritahu 25 sen datang dari rakyat Selangor,” ujarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkap Presiden Umno merupakan Ahli Parlimen Pekan manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga Naib Presiden Umno adalah Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Azmin berkata demikian dalam Pidato Pakatan Harapan ‘Negara Ini Kita Bina Bersama’ di Dewan Sri Siantan, Selayang malam tadi.

Orang ramai memenuhi Dewan Sri Siantan Selayang dalam ceramah Pakatan Harapan malam tadi

Menurut Timbalan Presiden PKR itu, Selangor masih stabil dan muncul sebagai negeri paling maju di Malaysia walaupun “diasak dan dibuli”.

“Walaupun Selangor diserang tiap-tiap jam 8 malam seolah-olah di Malaysia ini hanya ada satu negeri sahaja – Selangor, rizab kita sudah mencecah RM4 bilion.

“Terlalu banyak. Saya tidak tahu buat apa dah,” ujarnya secara berseloroh dalam program yang turut dihadiri Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Mahathir Mohamad dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Azmin turut memaklumkan kerajaan negeri pimpinannya telah membantu ribuan peniaga kecil melalui modal perniagaan tanpa faedah selain sudah tiga tahun memberi penjawat awam bonus dua bulan setengah gaji berbanding Putrajaya yang memberi RM500 sahaja.

Walau bagaimanapun, beliau sama sekali tidak menyentuh tentang Pilihan Raya Umum ke-14 termasuk situasi semasa hubungan dengan Pas dan kebarangkalian tinggi berlakunya pertandingan tiga penjuru.

COMMENTS

Wordpress (0)