Berjaya akan bina Four Seasons Resort di Okinawa

Berjaya akan bina Four Seasons Resort di Okinawa

Berjaya Land Bhd memperluaskan operasinya di Jepun menerusi pembangunan Four Seasons Resort dan Private Residences Okinawa, dengan kos pembangunan yang diunjurkan sebanyak US$400 juta dan anggaran nilai pembangunan kasar US$1 bilion.

Pengasas dan pengerusi eksekutif Berjaya Corporation Bhd (BCorp), Tan Sri Vincent Tan berkata projek di kawasan seluas kira-kira 12.14 hektar di sepanjang pantai barat pulau itu, terdiri daripada 120 bilik hotel, 120 kediaman dan 40 villa.

“Kami mempunyai 40.47 hektar tanah di kawasan itu yang terletak kira-kira 50 kilometer ke timur laut dari Lapangan Terbang Antarabangsa Naha. Selepas pembangunan Four Season, kami masih mempunyai 28.33 hektar, untuk pembinaan lebih banyak hotel tiga bintang, pusat membeli-belah dan kediaman di kawasan di belakang resort.

“Four Seasons merupakan pembinaan rendah, oleh itu pembangunan di belakang resort boleh lebih tinggi dengan pemandangan laut. Four Seasons dijangka meningkatkan nilai keseluruhan tanah sebelum kami menimbang perkembangan lain,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian pengurusan hotel, di sini hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani oleh anak syarikat milik penuh Berjaya Land Bhd, Berjaya Okinawa Development Co Ltd, yang diwakili oleh Tan, dan Four Seasons Hotels and Resort Pte Ltd Asia Pasifik diwakili oleh naib presiden kanan pembangunan, Christopher Wong.

Tan berkata Four Seasons Resort dan Private Residences Okinawa merupakan satu lagi projek ikonik di Jepun yang menggambarkan kejayaan Four Seasons Hotel dan Hotel Residences Kyoto yang secara rasminya dilancarkan pada Disember 2016.

Mengenai dana untuk projek itu, beliau berkata kumpulan berkenaan membeli tanah pada harga yang rendah pada 2009, dan telah membayar sepenuhnya, manakala kos pembangunan bernilai US$400 juta, akan dibiayai melalui pinjaman bank.

“Sebaik sahaja kita menjual kediaman, kami akan dapat membayar pinjaman bank dan akan memperoleh hotel percuma serta wang tunai,” katanya.

Jutawan itu berkata kumpulan berkenaan juga merancang untuk menyenaraikan perniagaan hotelnya, yang tidak akan dijual dan akan dipegang untuk jangka panjang, terutama hotelnya di Malaysia, yang kini masih dalam perbincangan dengan beberapa pihak berkepentingan minoriti.

Berjaya Group mempunyai 15 hotel di seluruh dunia. Ia berhasrat untuk mengeluarkan perniagaan hotelnya dari Berjaya Land dan melaksanakan tawaran awam permulaan di Singapura kerana ia tidak boleh disenaraikan di Malaysia disebabkan syarat penyenaraian rantaian Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Bagi hartanah kumpulan di UK, beliau berkata Brexit tidak baik untuk ekonomi dengan harga hartanah turun, walaupun ia menawarkan peluang untuk membeli.

Beliau berkata perniagaan kereta mewah kumpulan itu di UK, H.R Owen, bernasib baik tidak terjejas oleh Brexit kerana para pelanggan dalam kumpulan pendapatan ini tidak terjejas oleh kemelesetan.

Mengenai penjualan Four Seasons Hotel dan Hotel Residences Kyoto, beliau berkata kumpulan itu masih dalam perbincangan dengan beberapa pihak memandangkan ia sedang mengenal pasti harga ‘tinggi’ ke atas hartanah itu.

“Ini merupakan aset penting, dengan ada yang berkata ia merupakan hotel terbaik di Kyoto dan antara yang terbaik di Jepun. Ia menawarkan kadar yang baik iaitu sekitar US$1,500 semalam.

“Kemungkinan besar kami akan menjual keseluruhan kepentingan hotel itu, namun kami masih mempunyai lebih 20 unit tempat tinggal yang mungkin kami simpan atau jual kemudian apabila harganya tepat,” katanya.

Kumpulan itu menjangkakan penjualan itu akan dimuktamadkan dalam tempoh tiga bulan akan datang, katanya.

— BERNAMA