Hasrat Johor muncul juara dalam kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 semakin menampakkan peluang cerah apabila kontinjen itu berjaya meraih pingat emas ke 61, hari ini.
Selepas berjaya melepasi sasaran 55 pingat emas yang ditetapkan, kontinjen Johor kini mengalihkan fokus untuk mencapai kutipan 70 emas dalam masa berbaki dua hari lagi.
Sebagai rekod, Johor tidak pernah muncul juara keseluruhan SUKMA sejak diperkenalkan pada 1986 dengan pencapaian terbaik adalah mengakhiri saingan di kedudukan kedua keseluruhan pada 1992 ketika menjadi tuan rumah dengan mengutip 20 emas.
Kanu menjadi penyumbang emas terbesar buat kontinjen Johor apabila setakat ini berjaya memenangi 14 emas sekali gus mencapai sasaran ditetapkan.
“Kita belum boleh selesa kerana ada baki 200 acara lagi (termasuk semalam) berbaki tiga hari sebelum temasya SUKMA berakhir.
“Kontinjen Wilayah Persekutuan meletakkan sasaran untuk meraih 70 emas untuk mereka berpeluang menjadi juara keseluruhan. Jadi, kita juga perlu menetapkan sasaran yang sama untuk kita bersaing bagi menjadi juara buat kali pertama sejak SUKMA diperkenalkan pada 1986,” kata Ketua kontinjen Johor, Datuk Mohamad Najib Samuri.