Ramai dalam kalangan kita pernah berhadapan dengan situasi terpaksa mengemis duit sendiri untuk menuntut hutang dari kenalan terdekat.
Tidak dinafikan, sikap rakyat Malaysia yang penuh empati dan simpati ini selalu mendorong diri sendiri untuk ‘menghalalkan’ wang yang dipinjam atas faktor kasihan. Tetapi ada kalanya makan hati juga kerana si peminjam liat mahu bayar balik.
Bagi kes ini, sebenarnya anda boleh menuntut hutang dari kenalan anda dengan membawa kes ke mahkamah sivil.
Seperti satu perkongsian di laman sosial Facebook 1Sabah, seorang individu memberitahu dia telah berjaya menggunakan undang-undang untuk menuntut hutang dari kenalan yang sudah setahun tidak membayar balik wang dipinjam.
Menurutnya, selepas membawa kes tersebut ke mahkamah, pihak penghakiman mengarahkan si peminjam untuk membayar dalam tempoh 30 hari.
Apa yang bagusnya, sesiapa sahaja boleh buka fail tuntutan kecil ini yang memerlukan bayaran serendah RM20, tanpa perlu menggunakan khidmat peguam.
Bagaimanapun perlu diketahui bahawa hutang yang boleh dituntut jumlahnya tidak boleh lebih RM5,000.
“Alhamdulillah…selesai sesi penghakiman di Mahkamah Sivil Shah Alam. Buat tuntutan hutang daripada kawan yang liat nak membayar dah lebih setahun.
“Akhirnya terpaksa guna kuasa undang-undang untuk paksa dia bayar dalam masa 30 hari.
“Jadi, kepada kawan-kawan lain yang ada orang berhutang dengan anda tapi liat bayar, anda boleh guna cara ini. Tak perlu peguam pun.
“Hanya pergi ke Mahkamah Sivil cakap nak buka fail tuntutan kecil, bayar RM20 dan beritahu tuntutan anda kepada siapa dan fakta pinjaman yang diberi (mesti RM5,000 ke bawah sahaja ya!),” jelasnya.
Katanya, mahkamah akan bagi surat panggilan untuk pendengaran depan hakim.
Jika defenden mengaku salah meminjam tapi tidak bayar, mahkamah akan bagi arahan untuk bayar segera dalam masa 30 hari.
Kalau masih tidak bayar dalam tempoh itu, jelasnya, plaintif boleh buat tindakan mahkamah semula dan kali ini hukuman lebih berat iaitu defenden kena bayar segera atau harta disita atau waran tangkap dikeluarkan untuk ditahan.
Baca juga: Bengang tiba-tiba petik aurat isteri, Caprice bagi PU Syed tempoh 24 jam untuk minta maaf
Baca juga: Dr Maza terkesima dengar ucapan ahli politik mahu menang PRU untuk lepas dari tuduhan rasuah