Malaysia Dateline

Berjoging di luar kawasan kejiranan, tidak ikut alamat tempat tinggal boleh dikompaun

Individu yang berjoging di luar kawasan kejiranan serta tidak mengikut alamat tempat tinggal boleh dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Itu yang berlaku pada lapan individu termasuk seorang wanita di sebuah trek joging dekat Ampang dalam operasi Pemantauan Ops Covid-19 PKP 3.0 pada jam 5.45 petang kelmarin.

Polis mengeluarkan kompaun terhadap mereka terbabit selepas didapati berjoging di luar kawasan kejiranan serta tidak mengikut alamat tempat kediaman.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata tindakan itu dikenakan mengikut Peraturan 17 P.U (A) 243/2021 Peraturan- Peraturan Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan).

“Bagaimanapun, susulan kejadian berkenaan tular satu komen oleh seorang lelaki di Facebook yang berunsur fitnah dan jelik kepada pegawai mengeluarkan kompaun berkenaan.

“Pegawai itu yang membuat laporan polis mengatakan kenyataan itu tidak berasas dan mengundang persepsi negatif orang ramai kepada dirinya. Polis Ampang Jaya memulakan siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam kenyataan semalam.